SK Port Dickson anjur Program Robotik, jadikan pembelajaran lebih menyeronokkan

Iklan
Pendidikan juga perlu bergerak seiring dengan kemajuan teknologi agar murid-murid dapat mendalami ilmu dan berseronok.
Penggunaan robotik dalam bidang pendidikan semakin mendapat tempat di hati golongan muda khususnya pelajar sekolah yang mampu mengangkat teknologi itu sebagai salah satu elemen penting dalam pembangunan negara.

Ini kerana penggunaan teknologi berkenaan dilihat membawa banyak kepentingan dalam pelbagai bidang yang bukan sahaja membantu memudahkan sesuatu pekerjaan tetapi turut menjadikan proses pembelajaran lebih menarik.

Dalam bidang pendidikan juga, pembelajaran menggunakan robotik membolehkan pelajar lebih memahami asas teknologi terkini selain memberikan kelebihan kepada mereka untuk menjadi pemimpin yang cemerlang pada masa depan.

Melihat kepada kepentingan teknologi robotik ini, Sekolah Kebangsaan (SK) Port Dickson (SKPD), Negeri Sembilan, telah mengambil kesempatan menganjurkan Program Robotik baru-baru ini.

Program yang melibatkan murid Tahun Tiga hingga Enam itu menggunakan perisian GoTechUp yang merupakan perisian simulasi robotik untuk pembelajaran melibatkan teknologi itu secara dalam talian.

Zuraidah Ahmad
Iklan
Iklan


Menurut Guru Besarnya, Zuraidah Ahmad, perisian tersebut menjadi elemen penting kerana ia bukan sahaja menjadikan pembelajaran lebih menyeronokkan tetapi juga menjimatkan kos kerana boleh dilakukan secara maya tanpa robot fizikal.

"Sekolah mula mengenali GoTechUp tahun lalu ketika terlibat dalam program anjuran mereka dan terus berminat dengan perisian tersebut.

"Menjimatkan kos dan menjadikan pembelajaran menyeronokkan antara faktor yang mendorong kami (guru) mempersiapkan generasi muda untuk berdepan dengan dunia digital yang akan ditadbir oleh mereka pada masa akan datang.

"Selain itu, kami (guru) juga percaya dengan menormalkan pendidikan digital dan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dapat membantu mendedahkan serta menyokong pertumbuhan murid-murid dari usia muda,” jelasnya.

Sementara itu, Program Robotik yang dianjurkan pada 17 April lalu merupakan acara bulanan sepanjang tahun 2023 melibatkan 600 murid yang turut menjalinkan kerjasama pintar bersama syarikat Tech Up.

Sekolah turut menggunakan produk dari syarikat berkenaan untuk mengadakan pelbagai aktiviti melibatkan Kelab Robotik yang baharu ditubuhkan.

Tambahan pula, perisian simulasi robotik GoTechUp cuba mengetengahkan konsep pembelajaran kendiri yang membantu murid meningkatkan kemahiran dalam pengaturcaraan dan kemahiran pemikiran kritikal bermula dari peringkat awal hingga ke peringkat tertinggi.

Ainaa Rosli
Iklan
Iklan


Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Tech Up, Ainaa Rosli memaklumkan, pihaknya teruja kerana SKPD memilih perisian yang dibangunkan oleh syarikat itu.

Katanya, ini membuktikan lebih ramai warga pendidik hari ini terbuka kepada kaedah pembelajaran baharu yang moden.

"Kami gembira apabila mendapat maklum balas positif bahawa perisian ini dapat memberi impak yang disasarkan iaitu mengurangkan rasa takut murid dan mendidik kepada STEM dan pendigitalan.

"Penggunaan GoTechUp di SKPD ini berjaya membuktikan pendidikan STEM adalah untuk semua golongan masyarakat dan bukan hanya untuk murid elit seperti yang menjadi tanggapan orang ramai,” ujarnya lagi.

Tambah Ainaa, selain Malaysia, perisian yang dibangunkan oleh syarikatnya itu turut digunakan di Australia, Chile, China, Colombia, Perancis, Jepun, Hong Kong, Macau, Filipina, dan Korea Selatan.