KKM saran pemakaian semula pelitup muka di sekolah

Iklan
Pemakaian semula pelitup muka bagi mengurangkan jangkitan wabak Covid-19 dalam kluster pendidikan.
Kementerian Kesihatan (KKM) akan mencadangkan pemakaian semula pelitup muka di sekolah susulan peningkatan kes Covid-19 termasuklah kemunculan varian baharu yang dikenali sebagai XBB.1.16 atau Arcturus.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa memaklumkan, pertemuan bersama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek akan segera diadakan bagi membincangkan perkara itu.

Kata beliau, garis panduan berhubung prosedur operasi standard (SOP) melibatkan pelajar-pelajar di sekolah akan dikeluarkan sebelum persekolahan dibuka pada 2 Mei depan selepas cuti Hari Raya Aidilfitri.

Sebelum ini, Dr Zaliha memberitahu, enam kes varian baharu Covid-19 XBB1.16 atau Arcturus telah dikesan di Lembah Klang menjadikan jumlah kes meningkat kepada 12 setakat ini.

Empat daripadanya dikesan di Selangor, dua di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan enam kes di Sarawak.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan individu yang dijangkiti varian baharu itu yang juga merupakan subvarian kepada Omicron hanya mengalami gelaja ringan serta dilaporkan stabil.

Tambah Dr Zaliha, meskipun cadangan pemakaian semula pelitup muka di sekolah itu dibuat sebagai langkah pengawalan wabak berkenaan, namun keputusan akhir tetap bergantung kepada Kementerian Pendidikan (KPM) untuk melaksanakannya atau tidak.

Tambahan pula, baru-baru ini KKM telah menyarankan sektor pendidikan melakukan ujian saringan susulan 11 daripada 18 kluster Covid-19 yang dilaporkan pada minggu epidemiologi ketujuh 2023 adalah daripada kluster pendidikan.