IWK tawarkan permainan interaktif, ceramah dan demonstrasi CCTV kepada pengunjung karnival

Iklan
Wan Esuriyanti

Sempena Karnival Pendidikan Sinar Bestari, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd iaitu syarikat pembetungan nasional tidak ketinggalan menyertai dan memeriahkan suasana.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporatnya, Wan Esuriyanti Wan Ahmad berkata, penglibatan syarikat pembetungan nasional dalam karnival itu bertujuan berkongsi ilmu pengetahuan berhubung operasi IWK dan menyampaikan maklumat mengenai kepentingan sistem pembetungan yang cekap kepada orang ramai terutamanya pelajar-pelajar sekolah.

Iklan
Iklan

"Sepanjang karnival berlangsung, kami telah menyenaraikan beberapa aktiviti menarik untuk pengunjung datang ke reruai IWK.

"Setakat ini, IWK menyediakan aktiviti seperti proses dan penerangan berhubung rawatan air kumbahan, permainan interaktif (teka silang kata alam sekitar dan kuiz menguji sensitiviti alam sekitar) serta demonstrasi kamera litar tertutup (CCTV).

Iklan

"Selain itu, IWK juga akan menganjurkan ceramah bertajuk Lestarikan Alam bermula jam 2 petang. Diharapkan pengunjung tidak akan melepaskan peluang untuk hadir mendengar ceramah tersebut,” jelasnya.

Menurutnya, IWK turut menyediakan pelbagai hadiah kepada pengunjung yang berjaya menjawab kuiz diberikan.

Iklan

Mengulas lanjut, Wan Esuriyanti berkata, setiap pendedahan dan informasi oleh IWK sangat penting dalam menguar-uarkan tugasan harian IWK memproses air kumbahan yang kotor sehingga selamat untuk dilepaskan semula ke sumber air.

"Walaupun nampak biasa namun penerangan ini sangat bermakna bagi memberi kesedaran kepada masyarakat pentingnya tugas IWK biarpun terpaksa berhadapan dengan kotor, sukar dan bahaya setiap hari.

"Justeru, kami berharap pengunjung dapat memahami kepentingan syarikat pem-betungan nasional ini dalam memastikan air sisa kumbahan dirawat dengan cekap demi kelestarian alam sekitar,” jelas beliau.

Karnival Pendidikan Sinar Bestari merupakan karnival pendidikan terbesar di negeri Selangor yang akan berlangsung di Dataran Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam, Selangor.

Karnival tersebut adalah kerjasama antara Kumpulan Karangkraf bersama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) yang menyediakan pelbagai aktiviti menarik seperti Sinar Rovers, Hari Kantin, Rumah Hantu, Mini Zoo, Jualan Mega, Jualan Buku Karangkraf Mall dan banyak lagi.

Mengulas tema karnival iaitu memacu pendidikan generasi digital, Wan Esuriyanti berkata, tema yang dipilih amat bertepatan dengan perkembangan digital semasa terutama dengan adanya ChatGPT dan pelbagai pemodenan digital yang lain.

"Biarpun perkembangan digital dapat membantu pertumbuhan ekonomi, namun generasi muda hendaklah memahami keseimbangan pemodenan dengan kepentingan alam semula jadi khususnya berkaitan dengan pemuliharaan alam terutama ketika dunia hari ini sedang menghadapi senario perubahan iklim,” ujar beliau.

Wan Esuriyanti juga berharap karnival seumpama itu akan terus dianjurkan pada masa akan datang dengan lebih banyak pengisian mendalam mengenai isu semasa.

"Ia bagi memberi pendedahan kepada pelajar, selain meningkatkan kecintaan terhadap sumber asli dan alam sekitar,” katanya.