Kementerian Pendidikan (KPM) telah mengeluarkan pekeliling berhubung larangan sebarang aktiviti di luar bilik darjah termasuklah kokurikulum murid dan pelajar sekolah susulan cuaca panas yang melanda ketika ini.
Pekeliling tersebut dikeluarkan bagi mengelakkan berlakunya serangan strok haba dalam kalangan warga sekolah dan pendidik.
Menterinya, Fadhlina Sidek memaklumkan, pekeliling itu berkuat kuasa pada Rabu lepas dan mesti dipatuhi oleh semua guru besar dan pengetua seluruh negara.
Jelas beliau, keputusan mengenai larangan berkenaan melibatkan semua kegiatan luar termasuklah sukan, perkhemahan dan merentas desa.
"Pekeliling yang dikeluarkan ini membabitkan sesi persekolahan waktu pagi dan petang serta pembelajaran hendaklah dijalankan sepenuhnya dalam kelas atau bilik darjah.
"Larangan berkenaan juga meliputi garis panduan baharu yang telah ditetapkan KPM iaitu memberi kelonggaran pemakaian pakaian sukan berikutan cuaca panas ketika ini,” katanya.
Tambah Fadhlina, pihaknya sentiasa memantau keadaan cuaca dan suhu semasa dengan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) dan pada masa ini suhu sedia ada masih tidak menentu dengan berada pada tahap amaran satu.
"Sekiranya berada pada amaran dua dan tiga selama tiga hari berturut-turut, kita akan memberi kelonggaran untuk sekolah dicutikan.
"Bagaimanapun KPM akan sentiasa mengikuti saranan Kementerian Kesihatan (KKM) selaras dengan semua garis panduan yang ditetapkan,” ujarnya.