Kepentingan penilaian PAJSK yang perlu difahami pelajar

Iklan
PAJSK dibangunkan KPM sebagai pelengkap kepada sistem pentaksiran pendidikan merangkumi pentaksiran aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum.

Sering kali kumpulan guru mengalu-alukan penyertaan para pelajarnya dalam kepelbagaian program di sekolah.

Kata guru-guru ini, pembabitan para pelajar dalam program sekolah sangat penting bagi mendapatkan markah penyertaan yang akan dimasukkan dalam sistem Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, masih ramai dalam kalangan mereka yang tidak menyedari kepentingan PAJSK sepanjang berada di alam persekolahan.

Pandangan mereka, PAJSK sekadar sistem biasa yang tidak membawa sebarang manfaat.

Iklan

Menurut Kementerian Pendidikan (KPM), PAJSK merupakan penilaian yang dilakukan di sekolah untuk menilai aktiviti fizikal dan kesihatan murid dan pelajar.

Selain itu, ia juga untuk penilaian penyertaan, penglibatan dan pencapaian mereka dalam pelbagai aktiviti.

Iklan

PAJSK ini telah dibangunkan KPM sebagai pelengkap kepada sistem pentaksiran pendidikan yang merangkumi pentaksiran aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum.

Pentaksiran ini memainkan peranan penting kepada murid dan pelajar kerana ia membantu Bahagian Sekolah Berasrama Penuh, Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan institut pengajian tinggi awam (IPTA) dalam membuat penilaian kemasukan mereka ke institut tersebut.

Sementara itu, terdapat tiga komponen utama dalam sistem PAJSK untuk pengetahuan murid dan pelajar.

Tiga komponen tersebut terdiri daripada Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan (SEGAK); Kokurikulum dan Ekstra Kurikulum.

1) Ujian SEGAK

SEGAK adalah satu set Ujian Standard Kecergasan Fizikal untuk mengukur tahap kecergasan fizikal murid berasaskan kesihatan.

Antara komponen yang terdapat di dalam SEGAK ialah Daya Tahan Kardiovaskular (Naik Turun Bangku); Fleksibiliti (Jangkauan Melunjur); Daya Tahan Kekuatan Otot (Rengkuk Tubi Separa) dan Daya Tahan Kekuatan Otot (Tekan Tubi).

2) Kokurikulum

Kokurikulum juga adalah salah satu komponen yang terdapat di dalam sistem PAJSK ini. Penilaian kokurikulum diambil bertujuan membangunkan modal insan dalam usaha memupuk nilai, sahsiah dan jati diri seseorang murid.

Di dalam kokurikulum, ia terbahagi kepada tiga komponen yang merangkumi Kelab Persatuan, Unit Beruniform dan Sukan/Permainan.

Selain itu, terdapat tiga elemen lain yang akan dinilai dalam ketiga-tiga komponen tersebut iaitu penglibatan (merangkumi jawatan, peringkat, komitmen dan khidmat sumbangan); penyertaan (merangkumi kehadiran) dan prestasi (merangkumi pencapaian).

3) Ekstra Kurikulum

Ekstra kurikulum merupakan satu kegiatan sukarela yang bermanfaat pada atau di luar waktu persekolahan, ke arah pembentukan peribadi yang terpuji.

Kesimpulannya, sistem PAJSK diwujudkan bukan hanya untuk membuat penilaian semata-mata sebaliknya ia adalah sebagai salah satu usaha agar murid bergiat aktif di dalam sukan sekaligus memastikan diri sentiasa sihat sepanjang masa.