Institut Teknologi Massachusetts atau Massachusetts Institute of Technology (MIT) merupakan salah satu universiti terbaik di dunia.
MIT yang terletak di Cambridge, Massachusetts, Amerika Syarikat, telah mengungguli QS World University Rankings untuk kali kelapan berturut-turut menerusi pelbagai kategori antaranya penyelidikan, peluang pekerjaan, pengajaran, fasiliti dan inovasi.
Selain itu, MIT turut cemerlang dalam beberapa subjek yang ditawarkan iaitu Seni Bina; Lingustik; Sains Komputer dan Sistem Informasi; Kejuruteraan dan Teknologi; Kimia; Matematik serta Ekonomi dan Ekonometrik.
Penyelidik dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Ts Dr Norpadzlihatun Manap yang berkunjung ke MIT baru-baru ini berkata, terdapat pelbagai perkara unik yang dimiliki universiti tersebut.
"MIT merupakan sebuah kampus yang sangat hebat dan luar biasa. Para pelajar dan mahasiswa di negara ini seharusnya mengetahui keunikan yang ada di sana,” ujarnya menerusi portal UTHM.
Sebagai perkongsian kepada pembaca, Sinar Bestari senaraikan tujuh info unik sebagai rujukan guru dan pelajar serta penuntut institut pengajian tinggi (IPT) hasil catatan Norpadzlihatun.
Jom baca!
1) MIT dan Harvard University terletak bersebelahan
Lokasi dua universiti terbaik dunia ini sangat berdekatan antara satu sama lain di Cambridge, Massachusetts, Amerika Syarikat. Pemandangan yang cantik dapat dilihat semasa menyelusuri Sungai Charles yang tebingnya dikongsi oleh kedua-dua universiti berkenaan. Aktiviti santai seperti mengemudi kapal layar dan membaca buku di atas rumput hijau di tepi tebing sungai sering diikuti oleh masyarakat sana ketika cuaca baik.
2)‘Great Dome’ antara mercu tanda MIT
‘Great Dome’ adalah salah satu mercu tanda yang melambangkan MIT. Berada di persekitaran mercu tanda ini mampu melahirkan perasaan megah dan terpukau oleh mata yang memandang lantaran kerana kecantikan seni binanya.
3) Lawatan kampus percuma bagi yang berminat belajar di MIT
Lawatan percuma disediakan untuk yang berhajat menyambung pengajian di sini. Mereka yang berpeluang mengikuti kembara ini, akan diberi penerangan oleh pengurusan MIT tentang syarat-syarat kemasukan ke MIT.
Lawatan keliling kampus diadakan dalam kumpulan kecil yang diketuai pemandu pelancong terdiri daripada penuntut senior MIT.
4) Jenaka praktikal atau prank adalah dibenarkan
Jenaka praktikal dibenarkan namun perlaksanaannya perlu mengikut etika yang telah digariskan dan ia dinamakan Hacking Ethics.
Antara jenaka praktikal yang terkenal adalah seekor lembu yang dipakaikan topi ijazah dan air pancut yang muncungnya dipasang hos pili bomba.
Walaupun kelihatan lucu, namun setiap jenaka itu mempunyai maksud tersirat yang menggambarkan situasi penuntut di universiti tersebut.
Di sini, mahasiswa diberi kebebasan untuk mengekspresi idea yang membolehkan mereka berfikir di luar konteks kebiasaan dan secara kreatif dalam keadaan santai.
5) Reka bentuk seni bina yang moden dan futuristik
Sesuai dengan tahap prestij MIT sebagai universiti terbaik dunia, reka bentuk seni binanya melambangkan kemodenan dan futuristik. Antara bangunan yang menarik perhatian adalah Ray and Maria Stata Center serta Kresge Auditorium.
Terdapat juga arca unik hasil gabungan nombor dan simbol matematik yang diberi nama Alchemist. Arca ini berbentuk seperti seseorang yang sedang meneleku berfikir sambil memeluk lutut.
6)‘Brass Rat’ untuk penuntut MIT sebagai cincin peringatan
Bagi penuntut MIT, mereka akan menerima ‘Class Ring’ atau ‘Brass Rat’ sebagai cincin peringatan. Reka bentuk cincin peringatan ini berbeza mengikut kumpulan kemasukan penuntut.
7) Bergraduasi hanya apabila lulus ujian renang
Setiap mahasiswa MIT hanya dibenarkan bergraduasi setelah lulus ujian berenang dan ini adalah fakta.