Para penyelidik dari Institut Penyelidikan dan Teknologi Nano Optoelektronik (INOR), Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya menghasilkan diod pemancar cahaya (LED) yang mempunyai kecekapan pencahayaan puncak setinggi 207 lm/W, menghampiri prestasi LED terkemuka di pasaran dunia.
Teknologi LED yang dibangunkan INOR itu jauh lebih cekap tenaga berbanding lampu tradisional malah dalam jangka masa panjang ia membantu mengurangkan penggunaan tenaga dan kos sekali gus meningkatkan kualiti hidup pengguna.
Pengarah INOR, Profesor Madya Ts Dr Mohd Zamir Pakhuruddin berkata, penciptaan LED itu adalah satu pencapaian yang amat signifikan bagi universiti berkenaan.
"Ia adalah hasil usaha kolaboratif selama bertahun-tahun dalam program GaN-on-GaN (GoG) dengan Pemenang Hadiah Nobel Fizik 2014, Profesor Dr Shuji Nakamura dari University of California Santa Barbara (UCSB) dan pihak industri seperti ams OSRAM melalui Collaborative Research in Engineering, Science and Technology Centre (CREST).
"Kejayaan barisan penyelidik INOR ini membuktikan kemampuan penyelidikan LED telah berjaya dengan mengaplikasikan model 'quadruple helix', melalui kerjasama akademia, rakan industri, kerajaan dan juga masyarakat.
"Selain itu, pencapaian berkenaan juga menunjukkan kemampuan teknologi yang dibangunkan oleh universiti tempatan mampu bersaing di peringkat antarabangsa,” ujarnya.
Mohd Zamir turut menjelaskan, kejayaan penyelidik INOR USM itu akan membawa kepada penubuhan syarikat spin-off INOR yang mampu mengkomersialkan teknologi seterusnya menarik pelabur asing dalam industri elektrik dan elektronik negara (sektor LED).
"Kejayaan ini pastinya akan mewujudkan peluang pekerjaan kepada graduan di negara kita sekali gus dapat meningkatkan ekonomi negara secara keseluruhannya,” jelas beliau.
Sementara itu, Mohd Zamir berkata, sejak bermulanya program GoG pada 2015, terdapat beberapa penemuan baru bagi teknologi berkaitan penumbuhan epitaksi LED.
Penemuan-penemuan itu menurutnya telah diterbitkan dalam jurnal-jurnal berimpak tinggi dan difailkan dalam bentuk paten yang berpotensi untuk diadaptasi kepada industri berkaitan.
Mengulas lanjut mengenai kegunaan LED, Mohd Zamir memberitahu, LED mempunyai kegunaan yang meluas dalam kehidupan masyarakat hari ini termasuk dalam peranti elektronik seperti telefon bimbit, televisyen dan komputer riba.
"Selain itu, ia juga digunakan dalam peralatan rumah seperti lampu hiasan, lampu isyarat jalan raya dan lampu suluh.
"LED memberi banyak kelebihan dari segi penggunaan tenaga yang lebih rendah, cekap dan lebih tahan lama berbanding dengan lampu biasa,” tuturnya lanjut.