Nama Malaysia kembali mengharum di persada antarabangsa apabila Pensyarah Perubatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Hanis Hidayu Kasim, 39, berjaya menamatkan pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari University of Cambridge, United Kingdom tanpa sebarang pembetulan (without correction).
Kejayaan luar biasa ini menjadikan beliau antara segelintir calon PhD di dunia yang menerima pengiktirafan tertinggi dalam akademik kerana tesisnya dinilai hampir sempurna oleh panel pemeriksa.
Menurut Dr Hanis, pengalaman menerima berita itu pada 18 September lalu masih segar dalam ingatan.
"Sebenarnya pencapaian ini sangat miracle (ajaib). Saya tidak percaya ketika menerima emel daripada Cambridge. Saya panggil suami dan kami membaca emel itu berkali-kali kerana tidak dimaklumkan terlebih dahulu tentang keputusan berkenaan.
"Rasa sukar dipercayai kerana without correction itu di luar kemampuan saya sekali gus berjaya lulus dengan keputusan sebegitu," jelasnya yang berasal dari Klebang Besar, Melaka.
Dalam pengajiannya, Dr Hanis memberi tumpuan kepada lipidomik iaitu analisis molekul lemak untuk memahami bagaimana bayi pramatang memproses metabolisme dari lahir sehingga usia setahun.
Kajian tersebut diharap dapat membuka ruang kepada intervensi pemakanan yang lebih sesuai bagi membantu meningkatkan kesihatan jangka panjang bayi pramatang.
Cabaran sepanjang perjalanan
Dr Hanis mengakui yang pencapaian itu tidak datang dengan mudah.
Beliau berdepan pelbagai dugaan sepanjang empat tahun pengajian.
Antara cabaran besar yang dilaluinya ialah pemergian penyelia utama pada tahun pertama, sehingga memaksanya menukar topik kajian di pertengahan jalan.
Selain itu, cabaran pengumpulan data juga tidak mudah. Daripada 400 keluarga yang ditemui, hanya 73 keluarga yang bersetuju untuk terlibat dalam penyelidikannya.
"Setiap halangan itu menjadikan saya lebih tabah. Saya belajar bahawa PhD bukan sekadar tentang ilmu, tetapi juga berkenaan kesabaran, daya tahan dan sokongan sekeliling," ujarnya.
Sokongan USIM dan keluarga
Dr Hanis turut menzahirkan penghargaan kepada pihak USIM yang banyak membantu termasuk menaja yuran Sistem Ujian Bahasa Inggeris Antarabangsa (IELTS), menyalurkan gaji serta elaun keluarga sepanjang pengajian dan menyediakan elaun khas membeli pakaian musim sejuk kerana kos sara hidup di Cambridge sangat tinggi.
"Bahagian Cuti Belajar, Jabatan Pendaftar USIM juga sentiasa memantau perkembangan kajian saya melalui sesi semakan setiap enam bulan. Saya amat menghargai semua sokongan ini," katanya yang juga isteri kepada Dr Mohd Hanafi Abdul Habir, 41.
Beliau turut merakamkan terima kasih kepada beberapa tokoh akademik USIM antaranya Profesor Rafidah Hanim Mokhtar, Profesor Hayati Abd Rahman dan Profesor Datuk Ainoon Othman serta ramai lagi yang menjadi tulang belakang kejayaannya.
Semoga kisah Dr Hanis yang bercita-cita menjadi penyelidik bebas menjadi dorongan kepada generasi muda khususnya pelajar Malaysia, untuk terus berani mengejar impian.