Eksperimen institut Jepun berkaitan warna pakaian semasa cuaca panas, ini hasil uji kajinya!

Iklan
Kredit foto: Kadmy/123RF

Cuaca panas yang melanda negara ketika ini boleh memudaratkan kesihatan terutamanya kepada golongan yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas dan mereka yang mempunyai penyakit kronik.

Sebagai contoh, gejala penyakit seperti sakit kepala, keletihan, kurang tumpuan, pening, lemah otot atau kekejangan, rasa mual, tidak sedarkan diri atau koma boleh terjadi jika berada dalam cuaca panas bagi tempoh yang lama.

Iklan
Iklan

Dalam menghadapi bahang cuaca panas, Kementerian Kesihatan (KKM) mengumumkan beberapa langkah antaranya memakai topi atau payung ketika berada di luar ketika waktu panas bagi melindungi daripada pancaran haba terus ke badan.

Seterusnya, KKM turut menggalakkan masyarakat agar sentiasa berada di tempat tertutup seperti di dalam rumah, bangunan, pasar raya atau apa jua tempat terlindung dari cuaca panas dan bahang matahari.

Iklan

Malah, KKM juga menasihatkan orang ramai supaya memakai pakaian yang ringan, berwarna terang dan longgar bagi mengekalkan kesihatan pada musim panas.

Baru-baru ini, Institut Kebangsaan Pengajian Alam Sekitar di Jepun telah menjalankan eksperimen ringkas berkenaan pemilihan pakaian yang bersesuaian dengan keadaan cuaca panas hari ini.

Iklan

Dalam eksperimen itu, para pengkajinya telah memakaikan beberapa kemeja dengan warna yang berbeza pada patung-patung mannequin yang berlainan.

Kemudian, mereka membiarkan patung-patung tersebut di bawah cahaya matahari pada hari yang tidak mencatatkan apa-apa pergerakan angin.

Setelah dibiarkan seketika, bacaan suhu bagi setiap patung diukur bagi menentukan warna apa yang lebih sejuk ataupun panas.

Keputusannya tidak mengejutkan apabila warna putih mencatatkan suhu yang paling rendah sekali gus dinobatkan sebagai warna paling sejuk.

Kemudian, ia diikuti dengan warna-warna cerah seperti kelabu dan kuning yang mencatatkan suhu mirip dengan keadaan sekeliling iaitu 30 darjah Celsius.

Manakala kemeja hitam dan hijau mencatatkan bacaan suhu melebihi 50 darjah Celsius dalam masa lima minit sahaja.

Menerusi uji kaji ini, Sinar Bestari dapat simpulkan kemeja berwarna cerah merupakan pilihan terbaik bagi guru dan pelajar terutamanya kepada mereka yang berjalan kaki dalam keadaan cuaca panas.

Contoh warna cerah yang boleh digayakan adalah putih, merah jambu neon, jingga pendarfluor dan biru elektrik.

Diharapkan perkongsian berkaitan warna pakaian semasa cuaca panas dapat memberi manfaat kepada semua.