Perkara pertama yang akan dilakukan graduan selepas tamat pengajian adalah mencari pekerjaan bersesuaian dengan minat dan kemahiran.
Namun, untuk mendapatkan kerjaya impian bukanlah mudah seperti yang disangka.
Pelbagai cabaran dan ujian perlu dilalui sebelum graduan mendapat pekerjaan idaman.
Selain mencari pekerjaan, graduan juga berhadapan kekalutan memilih bilik sewa bersesuaian untuk didiami.
Tidak kiralah mencarinya di bandar, luar bandar atau pinggiran bandar sekalipun, proses mendapatkan bilik sewa bukan senang.
Hari ini, Sinar Bestari membantu graduan dengan perkongsian tujuh tip mudah dalam mencari bilik sewa untuk didiami secara individu atau bersama rakan.
Tip tersebut terdiri daripada
1) Deposit rumah mengikut bajet
Perkara pertama yang perlu graduan sediakan adalah deposit rumah. Jadi, carilah rumah atau bilik sewa mengikut bajet supaya anda dapat menyediakan deposit seadanya.
2) Runding kadar sewa dan utiliti
Sekiranya graduan telah menjumpai bilik sewa yang dimahukan, seeloknya berunding terlebih dahulu dengan tuan rumah mengikut kadar yang mampu. Pada masa sama, tanyakan juga mengenai bil utiliti sama ada sudah termasuk dalam harga sewa atau perlu dibayar berasingan.
Sekiranya tinggal berseorangan, mungkin tiada masalah untuk membayar utiliti mengikut penggunaan sendiri. Namun jika tinggal beramai-ramai, lebih elok mencari bilik sewa yang bersekali dengan bil utiliti.
3) Lokasi dengan tempat kerja
Lokasi ini agak subjektif bergantung kepada individu itu sendiri sama ada graduan sanggup membayar sewa mahal tapi dekat dengan tempat kerja atau sebaliknya.
4) Sewa sendiri atau ada rakan serumah
Jika graduan suka dengan kehidupan bersendirian, anda boleh memilih untuk menyewa bilik yang kecil atau mencari unit studio. Difahamkan, bilik sebegini agak mudah diperoleh bergantung kepada lokasi kerja graduan terbabit.
5) Kelengkapan rumah
Sewa rumah yang serba lengkap sudah tentu lebih mahal berbanding rumah yang kosong. Jadi, bergantung kepada graduan untuk mencari rumah atau bilik sewa yang sesuai. Tepuk dada tanya selera!
6) Kemudahan dan pengangkutan awam
Cari kawasan yang berdekatan dengan pelbagai kemudahan supaya graduan tidak perlu keluar jauh untuk mendapatkan keperluan harian. Pengangkutan awam sangat penting bagi mereka yang tidak mempunyai kenderaan untuk ke tempat kerja atau mereka yang ingin mengelakkan trafik.
7) Surat perjanjian sewa bilik atau rumah
Surat perjanjian adalah dokumen yang sangat bermakna dalam urusan sewa menyewa. Ia sangat penting dalam memastikan tiada perkara berbangkit selepas ini. Sekiranya kedua-dua belah pihak bersetuju dengan semua terma dan syarat, barulah graduan dan tuan rumah boleh menandatangani dokumen berkenaan.