Kok Ming, guru Malaysia kedua dinobat pemenang Anugerah Guru Berdedikasi Cambrigde 2023. Luar biasa!

Iklan
Cikgu Kok Ming bawa pulang hadiah berupa set buku atau sumber digital bernilai RM2,800 dan piala Anugerah Guru Berdedikasi Cambridge menerusi pertandingan tersebut.

Guru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Hua Lian 1, Taiping, Perak, Cikgu Goh Kok Ming dinobatkan sebagai pemenang serantau bagi Anugerah Guru Berdedikasi Cambrigde 2023 baru-baru ini.

Pemilihan Cikgu Kok Ming sebagai pemenang adalah berdasarkan pencapaiannya ketika mendidik pelajar dengan kemahiran pengekodan untuk membantu menyelesaikan isu komuniti sekali gus membina masa depan yang lebih cerah.

Iklan
Iklan

Berkongsi bidang pengekodan, Cikgu Kok Ming berkata, bidang pengekodan sememangnya diminati sejak kecil lagi.

"Sudah lama saya menyukai dunia pengekodan. Kerana itu, saya sangat teruja untuk berkongsi minat dengan pelajar bagi menggalakkan mereka membina kemahiran pengekodan supaya masa depan lebih terjamin.

Iklan

"Sebenarnya, saya memulakan inisiatif ‘Kod Kampong’ untuk menggalakkan pelajar membina aplikasi bagi membantu menyelesaikan isu komuniti dan mengukuhkan minat mereka dalam pengekodan.

"Sepanjang ‘Kod Kampong’ itu dijalankan, saya lihat pelajar begitu bersemangat untuk mempelajari kemahiran tambahan yang akan membantu masa depan masing-masing,” ujarnya yang membawa pulang hadiah berupa set buku atau sumber digital bernilai RM2,800 dan piala Anugerah Guru Berdedikasi Cambridge.

Iklan

Paling membanggakan, kejayaan Cikgu Kok Ming itu akan dipaparkan dalam halaman penghargaan di muka hadapan setiap buku teks Pendidikan Cambridge University Press bermula Februari 2024.

Anugerah Guru Berdedikasi Cambridge merupakan pertandingan yang meraikan usaha guru-guru di seluruh dunia.

Pertandingan anjuran Cambridge University Press tersebut memberi peluang kepada pelajar, ibu bapa dan guru-guru untuk mencalonkan seorang cikgu dari sekolah rendah atau menengah atas sumbangan luar biasa yang telah mereka lakukan.

Memasuki tahun kelima, anugerah ini menunjukkan impak positif guru-guru seluruh dunia yang mencetuskan inspirasi selain menjadi platform untuk pelajar mengucapkan ‘terima kasih’.

Lebih menggembirakan, ini adalah kali kedua guru dari Malaysia mengharumkan nama negara apabila dipilih sebagai pemenang Anugerah Guru Berdedikasi Cambrigde tersebut.

Tahun lalu, Guru Bahasa Inggeris Kolej Vokasional Keningau, Sabah, Cikgu Mohd Al Khalifa Mohd Affnan diumumkan penerima bagi anugerah berprestij itu.

Kemenangan Cikgu Mohd Al Khalifa dinilai menerusi inisiatifnya melatih pelajar dalam bidang robotik, dron, pengekodan dan disiplin berasaskan teknologi.

Usahanya itu berjaya meningkatkan penyertaan aktif pelajar perempuan dan pelajar berkeperluan khas dalam aktiviti sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Susulan kejayaan Cikgu Mohd Al Khalifa, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut menzahirkan ucapan tahniah kepadanya menerusi hantaran di Facebook rasmi Istana Negara pada Jumaat.

Sementara itu, Pengarah Penerbitan Pendidikan di Cambridge University Press, Matthew Walker melahirkan harapan agar pengiktirafan yang diberikan kepada Cikgu Kok Ming akan memberi inspirasi kepada guru-guru lain dalam menyampaikan pengajaran luar biasa sekali gus menggalakkan pelajar mencapai cita-cita yang diimpikan.

INFO

Pengekodan atau pengaturcaraan komputer bermaksud bahasa yang digunakan untuk memberi arahan kepada komputer bagi melaksanakan sesuatu tugas.

Walaupun komputer boleh menjalankan segala tugasan yang diarahkan, namun sistem perkomputeran masih memerlukan arahan dan di sinilah pengekodan memainkan peranan.