Projek pembangunan hoki Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Rinching, Hulu Langat, Selangor yang dimulakan sejak sedekad yang lepas kini menjadi program melahirkan bakat muda yang berpotensi menjadi bintang hoki negara.
Usaha itu diterajui oleh cikgu S. Kaalitash, 44, yang telah mengajar di SJKT Ladang Rinching sejak 2016.
Antara pemain yang lahir daripada program berkenaan ialah Eswaran George, yang kini menyertai skuad junior kebangsaan dan baru-baru ini mewakili Malaysia pada Piala Asia Hoki Junior Lelaki 2026 di Moqi, China.
Eswaran bersama rakan sepasukannya dalam Young Tigers kemudian berjaya melayakkan diri pada Piala Dunia Hoki Junior Lelaki tahun hadapan selepas Malaysia menduduki tempat keempat pada Piala Asia Hoki Junior Lelaki 2026.
Kaalitash berkata, faktor utama untuk melahirkan pemain yang mampu mencapai tahap seperti Eswaran, 20, ialah konsistensi dan bukan mengejar kejayaan dalam tempoh singkat.
"Walaupun kami bukan sekolah sukan Malaysia dan sekolah sukan khas untuk hoki, kami hanya sekolah harian sahaja, tetapi saya terpaksa buat latihan empat kali seminggu dengan mengupah jurulatih luar dan bertauliah untuk melatih budak-budak ini dengan kadar yang konsisten.
"Kemudian kami bawa mereka pergi kejohanan terbuka, perlawanan persahabatan dengan sekolah-sekolah negeri, barulah kita boleh nampak setakat mana kemampuan mereka. Langkah ini saya buat konsisten sepanjang tahun," katanya.
Guru Matematik dan Pendidikan Jasmani itu ditemui sebelum muncul sebagai tetamu dalam rancangan bual bicara Bernama TV, 'Paarvai', di sini.
Komitmen Kaalitash membuahkan hasil pada peringkat sekolah dan negeri, apabila SJKT Ladang Rinching menjuarai kejohanan Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Hulu Langat selama 10 tahun berturut-turut sejak 2017.
Anak kelahiran Sungai Petani itu turut membimbing pasukan daerah Hulu Langat meraih tiga kejuaraan Selangor berturut-turut, sebelum mengendalikan pasukan Selangor Bawah 12 Tahun dari 2023 hingga 2026, sekali gus membantu negeri itu merangkul empat kejuaraan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) berturut-turut.
Bukan itu sahaja, selepas memulakan program pembangunan hoki sekolah itu pada 2016, setahun kemudian Kaalitash menubuhkan Akademi Star Hockey sebagai platform untuk pemain muda berlatih dan bertanding dengan lebih konsisten selain daripada aktiviti persekolahan mereka.
Akademi itu kini mempunyai lebih 120 pemain terdiri daripada 80 lelaki dan 40 perempuan berusia antara empat hingga 18 tahun.
Bagaimanapun, bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata, ukuran kejayaan terbesar baginya bukan sekadar jumlah trofi yang dimenangi, sebaliknya berapa ramai pemain yang mampu melangkah ke peringkat seterusnya.
Lapan pemain daripada program pembangunannya berjaya ke Sekolah Sukan Bukit Jalil di sini dan Sekolah Menengah Kebangsaan Anderson di Ipoh, yang merupakan antara sekolah utama yang melahirkan bakat arena hoki Malaysia.
Walaupun usahanya mula membuahkan hasil, Kaalitash berkata, ia menuntut pengorbanan yang besar kerana perlu meluangkan banyak masa di luar waktu persekolahan.
"Setiap hari dengan hoki termasuk latihan dan bawa pemain sertai perlawanan persahabatan, baru boleh dapat hasilnya. Saya perlu konsisten dan disiplin tinggi untuk merancang program pembangunan ini agar ia berjaya," katanya.
Beliau berharap lebih ramai pemain hasil didikannya berjaya menyertai skuad kebangsaan senior, kerana ia satu pencapaian yang sungguh bermakna buat dirinya. - Bernama