Kenapa sesetengah cikgu diberi gelaran Guru Cemerlang?
Adakah gelaran itu membawa maksud tertentu atau sekadar gelaran semata-mata.
Menurut Guru Cemerlang Sains, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerlun, Kedah, Cikgu Norhailmi Abdul Mutalib, gelaran Guru Cemerlang membawa definisi tersendiri dalam sistem pendidikan.
"Guru Cemerlang merupakan guru yang mempunyai pengetahuan, kemahiran dan kepakaran tinggi dalam mata pelajaran khususnya dalam bidang pengajaran dan pembelajaran.
"Guru Cemerlang sentiasa berdedikasi, bermotivasi dalam melaksanakan tugas dan memiliki tanggungjawab yang cemerlang secara berterusan," katanya seperti dipetik menerusi Buku Terma Rujukan Konsep Guru Cemerlang.
Cikgu Norhailmi berkata, pendidik yang bergelar Guru Cemerlang secara tidak langsung akan dipilih sebagai mentor dan guru-guru lain sebagai mentee.
"Mentor maksudnya berkongsi pengetahuan dengan rakan-rakan guru yang lain dan bukan mengajar. Kena faham konsep itu.
"Macam saya, saya percaya setiap guru ada kaedah mereka sendiri. Ada yang berkesan, ada yang kurang berkesan. Sama juga yang berlaku pada saya. Maka, jika kita ada sedikit kaedah yang boleh membantu, apa salahnya berkongsi dengan rakan guru yang lain demi kebaikan pelajar,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, gelaran Guru Cemerlang boleh menjadi sumber motivasi kepada pendidik itu untuk bekerja dengan lebih kuat serta mempelbagaikan kaedah mengajar, teknik dan inovasi yang lebih berkesan dalam Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).
"Perkara ini kemudiannya dikongsikan dengan rakan guru yang lain dan dapat juga menggalakkan mereka untuk turut serta menghasilkan perkara-perkara luar biasa," ujarnya.
Akhir sekali, Cikgu Norhailmi menyeru kepada semua Guru Cemerlang agar menunjukkan mutu kerja yang betul-betul cemerlang, sesuai dengan gelaran yang diperolehi.
"Gelaran Guru Cemerlang bukan satu lesen untuk kita duduk selesa tanpa perlu berusaha apa-apa lagi. Masih banyak perkara yang perlu dilakukan dan masih banyak tanggungjawab serta amanah yang perlu ditunaikan.
"Kepada mereka yang baharu memohon gelaran Guru Cemerlang, berusahalah sebaik mungkin jika ada peluang. Peluang perlu direbut kerana ia tidak datang banyak kali.
"Jika gagal, maka berusahalah lagi. Jangan cepat putus asa dan jika berjaya, tunaikanlah tanggungjawab dan amanah anda sebagai Guru Cemerlang sebaik mungkin,” ujarnya.