Kejayaan Muhammad Azeem Mohd Fahmi dalam sukan olahraga negara sering menjadi rujukan atlet muda dan para pelajar sekolah.
Ini kerana Azeem yang baharu berusia 19 tahun, sudah mencipta kejayaan yang begitu cemerlang apabila memecahkan rekod kebangsaan acara 100 meter (m) dengan catatan 10.09 saat pada Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, Colombia.
Terbaharu, pelari pecut negara itu baru sahaja meraih tempat ketujuh kategori 100 m pada Kejuaraan Trek dan Padang SEC di Louisiana, Amerika Syarikat.
Azeem yang kini mewakili Auburn State University Alabama telah menamatkan saingan dengan catatan 10.25 saat dalam kejuaraan tersebut.
Menurut anak kelahiran Perak itu, tempat ketujuh dalam Kejuaraan Trek dan Padang SEC akan tetap dijadikan pengalaman berharga untuk melakukan yang lebih baik pada kejohanan akan datang.
"Minggu yang baik dengan pelari-pelari yang pantas dan ini adalah salah satu proses pembelajaran,” katanya di laman Twitter pada Ahad.
Selain hebat di padang, difahamkan Azeem juga seorang yang bijak dalam bidang pelajaran.
Ini dibuktikan menerusi kejayaannya memperoleh 6A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekali gus menyaksikannya ditawarkan peluang menimba ilmu di luar negara.
"Alhamdulillah rezeki saya untuk dapat 6A selepas kejayaan pada Sukan SEA Hanoi 2021.
"Mungkin bagi orang lain keputusan ini biasa-biasa sahaja, tetapi bagi saya ia sangat berbaloi dengan apa yang dilalui sepanjang tempoh peperiksaan SPM,” kata bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat, Ipoh, Perak.
Untuk mengetahui dengan lebih mendalam latar belakang pelari pecut negara ini, berikut perkongsian Sinar Bestari untuk rujukan adik-adik di luar sana.
Nama Penuh: Muhammad Azeem Mohd Fahmi
Nama Popular: Muhd Azeem
Tarikh Lahir: 29 April 2004
Kedudukan dalam keluarga: Anak keempat daripada lima beradik
Nama sekolah:
- Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Abdul Aziz, Teluk Intan, Perak
- Sekolah Tunku Abdul Rahman (STAR), Ipoh, Perak
- SMK Gunung Rapat, Ipoh, Perak
Sukan: Olahraga Balapan
Hobi: Membaca
Cita-cita: Pensyarah dalam bidang sukan
Pencapaian:
- Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD): Olahragawan (2014-2016)
- Majlis Sukan Sekolah Perak (MSSP): Olahragawan (2015–2018)
- MSSP: Olahragawan (2015–2018)
- Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM): Olahragawan Lelaki kategori 15 dan Olahragawan Keseluruhan (2018)
- Kejohanan Olahraga Remaja Asia Tenggara 2019
Sebahagian rekod sepanjang bergelar jaguh pecut negara:
- 100 m dengan catatan 10.09 saat di Pascual Guerrero Stadium, Cali, Columbia.
- 200 m dengan catatan 20.89 saat di Kuching, Sarawak
- 4×100 m dengan catatan 39.09 saat pada My Dinh National Stadium, Hanoi, Vietnam
- 100 m Anugerah Putera Sukan Negeri Perak 2018
- Pingat emas Kejohanan Olahraga Remaja Asia Tenggara 2019
- Pingat emas kategori 100 m, 200 m dan 4×100 m di Innotex Open, Bukit Jalil, Kuala Lumpur
- Bakal menyertai Kejuaraan Dunia di Budapest, Hungary Ogos nanti.
Sementara itu, bekas pelari negara, Zaiful Zainal Abidin yang telah 22 tahun memegang rekod 400 m kebangsaan berkata, Azeem seorang pelari yang sangat tangkas dan cepat menyesuaikan diri.
"Dia memiliki semangat seorang atlet yang mahu mengejar kejayaan seiring dalam sukan dan akademik.
"Justeru, didoakan Azeem akan terus berjaya dalam apa jua bidang diceburi kelak,” ujarnya.