"Terima kasih di atas kesudian membantu saya dan adik agar dapat bersekolah semula kerana sudah lama kami meninggalkan sekolah.”
Itulah yang diucapkan oleh seorang remaja berusia 16 tahun yang bukan sahaja dihimpit kemiskinan tetapi turut diuji kehilangan kedua ibu bapanya.
Mohamad Azwan Abdullah, 16, dan adiknya Nur Asyikin Hadi, 15, dari Kampung Slow Pok Long, Kelantan akhirnya memulakan persekolahan mereka di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dabong pada Ahad.
Dia dan adiknya kelihatan tidak mampu menyembunyikan perasaan gembira dan ceria kerana akhirnya dapat bertemu guru dan rakan-rakan baru di sekolah tersebut.
Kata Mohamad Azwan, dia dan adiknya tidak menyangka dapat bersekolah semula selepas terpaksa memendam hasrat berkenaan disebabkan oleh faktor kewangan dan kemiskinan.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada banyak pihak yang membantu menyumbang sokongan dan kewangan demi memastikan saya serta adik dapat belajar di sini.
"Saya berjanji akan belajar bersungguh-sungguh demi mengubah nasib keluarga dan masa depan,” katanya seperti dipetik dalam Sinar Harian.
Sebelum ini, Mohamad Azwan terpaksa terpaksa mengambil alih tugas sebagai ketua keluarga dengan mengambil upah menoreh getah sebanyak RM50 selepas ibunya meninggal dunia akibat penyakit buah pinggang dan diikuti bapa tirinya.
Malah akibat kesempitan hidup juga, adik bongsunya yang berusia 12 tahun turut diambil dan dijaga oleh keluarga sebelah arwah ayahnya.
Media sebelum ini juga pernah melaporkan, dua beradik yatim piatu menjadikan pondok kecil serta usang sebagai tempat mereka berteduh daripada hujan dan panas, sejak lebih lima tahun lalu.
Sementara itu, Pengetua SMK Dabong, Suhaimi Ab Ghani memberitahu, pihak sekolah mengalu-alukan kedatangan Mohamad Azwan dan adiknya, Nur Asyikin ke sekolah dan berharap agar peluang ini dapat dijadikan semangat untuk mereka belajar bersungguh-sungguh.
"Kami akan cuba sedaya upaya membantu dua beradik ini dan pada masa sama, guru-guru juga dapat memberi perhatian sebaiknya kepada mereka.
"Selain itu, pihak sekolah turut memberi kaunseling dan motivasi kepada mereka supaya lebih bersemangat," ujarnya.
Kedua beradik itu akhirnya dapat bersekolah dengan hasil bantuan orang ramai serta bantuan daripada pengerusi badan bukan kerajaan (NGO) Cempaka Merah Asnaf Society, Che Norhayati Mohamed yang datang membantu menguruskan kemasukan mereka ke sekolah berkenaan.