Keputusan penempatan sekolah bagi Tingkatan Satu sering menjadi detik yang menguji emosi, bukan sahaja kepada pelajar, malah ibu bapa.
Ada yang gembira menerima tawaran ke sekolah impian, namun ada yang kecewa dan merasakan mereka sudah gagal, namun hakikatnya perjalanan hidup mereka baru sahaja bermula.
Pengerusi Pusat Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Hasnah Toran menegaskan bahawa ibu bapa perlu memainkan peranan besar menentukan emosi anak-anak mereka dalam situasi tersebut.
Menurut beliau, ketegasan yang disertai kefahaman perlu ditunjukkan agar anak tidak terus larut dalam kekecewaan. “Jika ibu bapa sedari awal memahami kekecewaan anak, mereka perlu ajar bahawa hidup ini ada pasang dan surut.Anakanak perlu belajar menjadi insan yang anjal.
“Ikut kata pepatah, pokok yang boleh meliuk apabila ditiup angin tidak akan patah,” katanya kepada Sinar Bestari.
Tambah Hasnah, pendidikan tidak sepatutnya dilihat semata-mata sebagai soal destinasi awal, sebaliknya proses membentuk daya tahan, disiplin dan keupayaan menyesuaikan diri.
Hakikatnya, tidak semua laluan pendidikan bermula seperti yang dirancang, dan kejayaan jarang lahir daripada perjalanan yang mudah.
“Dengan bimbingan yang tegas dan sokongan berterusan, anak-anak boleh belajar menerima kegagalan sebagai sebahagian daripada proses kehidupan,” katanya.
Kognitif pelajar aras tinggi
Dalam dunia pendidikan yang semakin mencabar dan dinamik, Hasnah menjelaskan, pelajar perlu dibekalkan keupayaan kognitif aras tinggi seperti pemikiran kritis, kebolehan menganalisis, menyelesaikan masalah serta membuat keputusan secara beretika.
“Keupayaan ini bukan sahaja penting untuk pencapaian akademik, malah menjadi asas kepada pembentukan sahsiah dan daya saing pelajar pada masa hadapan,” jelasnya.
Seiring perubahan keperluan industri dan kemajuan teknologi katanya, sistem pendidikan juga perlu memastikan pelajar bukan sekadar cemerlang dalam peperiksaan tetapi mampu berfikir secara matang dan bersedia menghadapi dunia sebenar.
Dalam pada itu, Hasnah turut meluahkan kebimbangan terhadap murid-murid yang menganggap ketidakcapaian memasuki sekolah khusus sebagai kegagalan besar dalam hidup.
“Kita perlu mengajar anak-anak bahawa walau di mana mereka ‘tercampak’, mereka masih mampu berkembang. Saya bimbang ada yang terus berfikir mereka tidak cerdik,” katanya.
Hakikatnya, tidak semua pelajar akan bermula di sekolah yang dianggap elit atau berprestij, namun perkara itu tidak sepatutnya membuatkan mereka berasa terpinggir atau kurang bernilai.
Di sinilah peranan ibu bapa amat penting sebagai sumber keyakinan anak.
“Sekolah mungkin berbeza, tetapi nilai cekal, usaha dan keazaman yang ditanam akan menjadi bekalan penting untuk masa depan,” katanya lagi.