Seramai 70 pelajar golongan asnaf dan B40 daripada sekolah menengah sekitar Besut, Terengganu menerima tajaan penuh dalam Program Sponsor Student (SAS) yang kini memasuki edisi ke-17.
Presiden Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tengku Mahmud (TMESA), Datuk Muhammad Nasir Hamzah berkata, kejayaan yang dikecapi selepas tamat pembelajaran kelak bukan datang tanpa usaha.
Tegasnya, setiap pelajar yang menerima tajaan ini perlu mempunyai komitmen, tekad dan disiplin untuk mengubah masa depan masing-masing.
"Tiada siapa boleh mengubah nasib kita selain diri kita sendiri. Latar belakang bukan penentu masa depan, ia hanyalah kenangan yang membentuk siapa kita hari ini.
"Kita boleh menoleh ke belakang, tetapi masa hadapan perlu dipandang ke depan," katanya semasa Majlis Makan Malam TMESA sempena Program SAS 17 di Dewan Karangkraf.
Sejak diperkenalkan, hampir 1,500 pelajar berjaya menerima tajaan melalui program berkenaan dengan sebahagian besar daripada mereka melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi termasuk menara gading tempatan, malah ada yang berjaya menembusi pasaran kerja antarabangsa di Australia dan Amerika Syarikat.
Program SAS turut menekankan prinsip kesaksamaan dengan tidak membezakan latar belakang sekolah atau asal-usul pelajar, sebaliknya menganggap semua penerima sebagai anak sendiri yang perlu dibimbing dan disokong.
Muhammad Nasir turut meninggalkan pesanan agar pelajar yang menerima tajaan hari ini perlu menanam niat dan semangat untuk berjaya bukan sahaja demi diri sendiri, malah untuk keluarga serta masyarakat.
"Kami tidak mengharapkan balasan dalam bentuk kewangan.
"Cukuplah sekadar ingat kepada kami dan hulurkan bantuan sama ada tenaga atau idea untuk membangunkan program ini pada masa hadapan.
"Balik ke Besut bila dah berjaya. Curahkan bakti kepada tempat asal dan bantu membangunkan komuniti supaya Besut menjadi daerah yang lebih maju dan hebat.
"Insya-ALLAH, merekalah yang akan kembali dan memacu perubahan di Besut suatu hari nanti," katanya.