Seramai 29 pelajar Sekolah Henry Gurney (SHG), Melaka menimba ilmu baharu iaitu fertigasi penanaman cili dan baja organik vermikompos.
Perkongsian berkenaan direalisasikan mahasiswa-mahasiswa Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam mengembangkan kemahiran ilmu pertanian pelajar-pelajar terbabit.
Pensyarah Jabatan Teknologi Pertanian UPM, Dr Jasmin Arif Shah berkata, perkongsian ilmu pertanian dalam program Membina Masa Depan dengan Pertanian 2.0 itu membantu dan menyokong komuniti pengeluaran hasil tanaman serta memenuhi kehendak pasaran sekali gus menjamin sekuriti makanan.
"Berkongsi kemahiran pertanian kepada pelajar-pelajar SHG, Melaka sedikit sebanyak memberi nilai tambah kepada mereka untuk dijadikan bekalan masa hadapan dengan berkecimpung dalam dunia pertanian.
"Pada awalnya, terdapat pelajar-pelajar yang tidak menunjukkan minat dalam bidang pertanian.
"Bagaimanapun, apabila diberi pendedahan dengan melakukan dua aktiviti secara fizikal telah menarik minat pelajar-pelajar tersebut," katanya dalam kenyataan media baru-baru ini.
Program berkenaan telah dikendalikan 24 pelajar Fakulti Pertanian UPM yang diketuai Pengarah Program, Tamilarasan A/L E Nagarajan.
Dr Jasmin memberitahu, dua modul yang diketengahkan adalah fertigasi penanaman cili dan penghasilan baja organik vermikompos menggunakan buku kecil (booklet) yang dihasilkan sendiri oleh 24 pelajar Kursus Komunikasi Pengembangan dan Demonstrasi Kaedah Pertanian, (TKP3205).
Jelasnya, buku modul berkenaan memberi kemudahan kepada pelajar-pelajar SHG Melaka untuk melaksanakan aktiviti berdasarkan carta gambar dan penerangan ringkas.
"Kita juga ingin melaksankan program-program pemindahan ilmu pertanian kepada komuniti tanpa mengira lapisan masyarakat," ujarnya.