Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA'23) telah mencetuskan fenomena luar biasa apabila ribuan pengunjung membanjiri pameran yang kini berlangsung di Langkawi, Kedah bermula 23 hingga 27 Mei 2023.
LIMA’23 yang melibatkan pelbagai sektor seperti pertahanan, keselamatan dan komersial telah mempamerkan pelbagai perkembangan teknologi dan aset berkaitan udara dan maritim kepada delegasi antarabangsa, pengunjung dan pelawat perdagangan.
Turut disajikan pada pameran tersebut adalah aksi akrobatik pesawat pejuang dan komersial.
Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan, LIMA’23 edisi ke-16 amat dinantikan ramai pihak memandangkan kali terakhir ia diadakan pada 2019.
"Berbanding dahulu (2019), kali ini lebih banyak penyertaan iaitu sebanyak 525 pempamer selain penyertaan lima pasukan aerobatik terkemuka menjadikannya terbesar dalam sejarah.
"Pameran ini juga disertai 119 pesawat yang menyertai pameran statik dan aerobatik, selain 40 kapal tentera laut dari dalam dan luar negara," katanya pada sidang media di Resort World Langkawi (RWL).
Sehubungan itu, bagi peminat aeroangkasa dan maritim, hari ini Sinar Bestari kongsikan beberapa fakta ringkas tentang LIMA’23 sebagai pengetahuan guru dan pelajar serta orang ramai.
Berikut fakta-faktanya!
1) Pameran LIMA adalah satu wadah bagi syarikat dalam industri pertahanan dari pelbagai negara mempamerkan produk-produk mereka dan secara tidak langsung merancakkan kerjasama strategik antara industri pertahanan negara dan luar negara.
2) LIMA’23 merupakan pameran dwitahunan yang diadakan lima hari bermula 23 hingga 27 Mei 2023.
3) Kali terakhir LIMA diadakan pada 2019 dan ia tidak diadakan pada 2021 susulan pandemik Covid-19 yang melanda dunia ketika itu.
4) Untuk edisi kali ini, LIMA membawakan tema Titik Perhubungan Perdagangan Maritim dan Aeroangkasa Asia (The Nexus of Asia’s Maritime and Aerospace Trade).
5) LIMA adalah antara pameran maritim dan aeroangkasa terbesar di Asia Pasifik. Segmen angkasa juga menjadi tarikan baharu edisi kali ini.
6) Pameran kali ini melibatkan 41 kapal iaitu 17 kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), 15 kapal tentera negara asing dan sembilan kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
7) Buat pertama kali, para pengunjung dibenarkan menghampiri dan menaiki kapal-kapal yang bersauh di tengah laut.
8) Pertunjukan udara berlangsung selama dua jam.
9) Sebanyak lima negara telah menyertai pertunjukan aerobatik iaitu Rusia, Indonesia, China, Korea Selatan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
10) Penggunaan dron dilarang
Ruang udara Langkawi ditutup mulai 18 hingga 27 Mei 2023
Pengoperasian dron dilarang dalam tempoh berkenaan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
Penggunaan dron tanpa kelulusan boleh menganggu latihan dan pertunjukan udara.