Setiap individu pasti mempunyai momen-momen indah yang akan dikenang sampai bila-bila.
Paling banyak kenangan, sudah tentulah ketika zaman persekolahan. Betul tak?
Baru-baru ini, seorang alumni Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Balik Pulau, Pulau Pinang, Nany Adifah menghubungi Sinar Bestari untuk perkongsian kenangan manisnya ketika majlis perjumpaan semula (reunion) bersama rakan-rakan seperjuangan tahun 1997/1998.
"Tidak sangka dapat bertemu kembali dengan kawan-kawan MRSM yang sudah 25 tahun meninggalkan sekolah. Rindu? Ya, rindu sangat-sangat pada mereka,” ujar Nany.
Kepada Sinar Bestari, Nany telah berkongsi pelbagai kisah gembira sepanjang reunion berlangsung.
Justeru, kami paparkan cerita indah alumni ini untuk perkongsian bersama. Ini momennya!
*****
Majlis perjumpaan semula tahun 1997/1998 berlangsung penuh meriah di Umai Cafe, Putrajaya pada Ahad.
Reunion ‘Jubli Perak’ diberi nama sempena 25 tahun kami meninggalkan MRSM Balik Pulau.
Lebih 100 alumni dan 18 guru telah menghadiri majlis tersebut dan ia berlangsung dengan begitu meriah sekali.
Saya puji rakan-rakan yang hadir. Mereka sanggup datang dari jauh semata-mata ingin sertai majlis perjumpaan semula.
Ada yang sanggup datang menaiki kapal terbang, menempah hotel untuk bermalam serta memandu beratus kilometer dari pelbagai negeri di utara, selatan dan timur tanah air hanya untuk majlis berkenaan.
Semoga ALLAH SWT mengambil ia sebagai pahala bagi mengeratkan silaturahim.
Berkongsi tentang majlis indah ini, saya selaku ahli jawatankuasa (AJK) telah berbincang bersama rakan-rakan menerusi aplikasi WhatsApp untuk pembahagian tugas.
Ini kerana ramai dalam kalangan kami yang tinggal di luar Selangor dan Kuala Lumpur, justeru WhatsApp menjadi penghubung.
Pembahagian tugas mengikut kemahiran dan keupayaan masing-masing.
Misalnya, ada yang menjadi setiausaha, ditugaskan menghasilkan video, menyediakan hadiah, mencari penyumbang dan sebagainya.
Walaupun berhubung dari jauh, namun alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Memang mereka kawan-kawan yang bagus dan terbaik!
Saya bersama rakan yang dilantik AJK bahagian hadiah sepakat untuk membahagikan hadiah kepada tiga kategori iaitu cenderahati untuk diberikan kepada tetamu; cabutan bertuah dan hadiah pertandingan.
Bagi cenderahati kepada tetamu, kami menyediakan kerepek opak, magnet peti sejuk, dodol dan tudung tajaan Hijab Designer.
Manakala kategori hadiah untuk pertandingan pula diberikan kepada pemenang pakaian terbaik lelaki dan perempuan, acara menganyam ketupat dan teka penulis lirik lagu raya.
Berkongsi tentang perjalanan majlis pula, ia dimulakan dengan bacaan doa dan nyanyian lagu maktab bersama-sama.
Wah! Ketika ini memang mengimbas sangat masa zaman menjadi pelajar Tingkatan Empat dan Lima. Terus terbayang dewan tempat kami berhimpun setiap hari Jumaat.
Sepanjang majlis berlangsung, ada juga beberapa aktiviti selingan yang dijalankan seperti cabutan bertuah yang hadiahnya ditaja alumni MRSM.
Yang tidak dapat hadirkan diri pula, mereka bermurah hati untuk menaja hadiah. Terbaiklah kawan-kawan!
Makanan yang disediakan pula semuanya sedap-sedap. Berbaloilah untuk bayaran RM50 setiap seorang. Tidak cukup dengan itu, ada yang sudi membawa pelbagai kuih, kerepek dan pencuci mulut.
Akhir kata, semoga pertemuan singkat ini dapat merapatkan kembali ukhuwah di antara kita.
Insya-ALLAH, jika diberikan usia yang panjang dan sihat tubuh badan, dapatlah nanti kita berjumpa lagi.
Jaga diri semua!