Bersempena dengan cuti sekolah sepanjang minggu ini, pasti ramai cikgu-cikgu mengambil peluang mencantikkan kelas masing-masing bagi menarik minat murid hadir ke sekolah.
Walaupun cuti sekolah ini dilihat sebagai satu peluang buat mereka untuk merehatkan diri daripada hal-hal yang melibatkan sesi persekolahan namun masih terdapat sesetengah guru bertungkus-lumus menjadikan kelas sebagai tempat yang selesa kepada anak didik ketika menuntut ilmu.
Ini dapat dilihat daripada beberapa video yang dikongsi oleh cikgu-cikgu di aplikasi TikTok, masing-masing menghias kelas daripada keadaan yang suram sebelum ini kepada suasana yang lebih ceria.
Sudah pasti senario ini mendapat perhatian Sinar Bestari untuk dikongsi bersama pembaca supaya usaha gigih seorang guru tidak dinilai daripada sudut mengajar semata-mata tetapi turut dilihat bagaimana mereka ingin mewujudkan persekitaran kondusif kepada anak murid.
Memetik satu video TikTok bernama Aniez Zack yang merupakan seorang guru di sebuah sekolah di Kuala Terengganu, usaha mencantikkan dan menghias kelas itu adalah hasil kerjasama bersama murid-muridnya yang ringan tulang membantu.
Hasilnya, kelas yang sebelum ini kelihatan seperti ‘reban ayam’ kini berubah menjadi ‘studio look’ bak kata pepatah, sedap mata memandang.
"Menangis dan patah hati semasa menerima kelas ini pada awalnya apatah lagi melihat kelas yang tunggang-langgang.
"Pernah terfikir sampai hati bagi kelas yang paling hujung dan buruk kepada saya selaku guru kelas, namun ia bukan alasan dan mematahkan semangat untuk mencantikkan kelas ini.
"Dan berkat kerja keras saya dan anak murid lain, kelas yang sebelum ini seperti ‘reban’ sudah berubah menjadi persekitaran mewah ala ‘condo look’, katanya seperti dipetik dalam video yang dikongsi di TikTok.
Meninjau ke ruangan komen, Sinar Bestari tertarik untuk berkongsi pendapat warga maya yang rata-ratanya teruja melihat perubahan kelas yang dibawa oleh Cikgu Aniez Zack itu.
Antara komen-komen tersebut adalah;
Luvhanaa: Kelas comel begini barulah ada semangat hendak belajar.
Userkarl: Cantiknya kelas cikgu, ‘insecure’ melihatnya.
nana: Nampak cantik dan ada unsur ‘aesthetic’, baru seronok nak datang sekolah.
Yaya: Untung mereka yang dapat kelas ini tahun depan, kelas dah cantik.
Namun begitu, terdapat juga sesetengah daripada komen yang terdiri daripada pelajar sekolah menyatakan rasa sedih kerana guru masing-masing dilihat tiada inisiatif dalam menghias kelas.
Leeya: Murid-murid dah bersemangat, tetapi guru pula tak rajin. Kenapa cikgu saya tak rajin macam ini kan?
Izz: Tengoklah cikgu sekolah lain elok je keluarkan duit untuk hias kelas, ini tidak semua harapkan anak murid.
Apa pun Sinar Bestari ucapkan tahniah kepada cikgu-cikgu yang telah berjaya mencerikan kelas demi kelangsungan sesi pembelajaran seharian anak-anak di sekolah.
Syabas! Diucapkan.