Lepasan SPM tidak mahu sambung belajar, memilih terus bekerja

Iklan
Kredit foto: Freepik

Tanggapan sukar mendapatkan pekerjaan selepas tamat pengajian di universiti antara faktor utama yang mendorong ramai lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memilih untuk terus bekerja dan tidak mahu sambung pengajian.

Ini bukanlah satu perkara yang mengejutkan memandangkan media sebelum ini ada melaporkan lebih daripada 458,000 lepasan SPM tidak menyambung pengajian dalam tempoh tiga tahun sejak 2020.

Iklan
Iklan

Statistik berkenaan menunjukkan 35.16 peratus atau 115,939 lepasan SPM tahun 2020 dan 48.74 peratus atau 180,680 bagi tahun 2021 tidak melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Jika keadaan ini berterusan maka tidak hairanlah kira-kira 40 peratus atau 116,454 daripada keseluruhan 403,637 calon SPM 2022 yang keputusannya akan diumumkan esok (8 Jun 2023) akan mengambil langkah sama.

Iklan

Tanggapan terus bekerja adalah lebih utama

Menurut Guru Bimbingan dan Kaunseling, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Seri Indera Putera, Ayer Itam, Kedah, Nor Hafizah Mahmud, pelajar-pelajar tersebut memilih untuk meneruskan pekerjaan selepas mendapatkan sijil SPM kerana merasakan kewangan lebih utama.

Cikgu Hafizah

Iklan

Tambah beliau, anggapan mereka ini berpunca daripada sikap sesetengah keluarga yang tidak mendorong sama ada dari aspek moral dan material tentang keperluan pendidikan anak-anak.

"Melihat kepada keadaan kewangan yang menjadi krisis utama hari ini, terdapat sesetengah keluarga mengharapkan anak-anak segera bekerja bagi membantu meringankan beban keluarga.

"Keadaan ini tidak salah tetapi harus diingatkan pendidikan adalah hak anak-anak dan ibu bapa haruslah bertanggungjawab memastikan mereka menerima pendidikan yang sepatutnya,” ujarnya ketika dihubungi Sinar Bestari.

CH: Yuran pengajian mahal.

Bukan itu sahaja, Cikgu Hafizah turut memberitahu, yuran pengajian yang mahal juga menjadi salah satu sebab mengapa menyambung pengajian ke peringkat seterusnya tidak menjadi pilihan.

Ini kerana sesetengah keluarga terutamanya daripada golongan berpendapatan rendah (B40) tidak mampu menampung kos tambahan anak-anak yang menyambung pelajaran apatah lagi jika sebelum ini kewangan sedia ada hanya cukup-cukup makan sahaja.

"Saya tahu kewangan antara penghalang utama bagi mereka yang kurang berkemampuan kerana menyambung pelajaran ini melibatkan kos tinggi antaranya yuran pengajian, makan dan minum serta peralatan pembelajaran.

"Namun bagi saya, jika benar hidup mempunyai matlamat mahu mencapai tahap pendidikan yang tinggi, benar-benar mahu sambung belajar, ibu bapa dan pelajar boleh dapatkan maklumat tentang bidang pengajian, pusat pengajian dengan institusi kerajaan yang menawarkan yuran dan penginapan percuma malah diberi elaun atau wang saku bulanan.

"Dengan bantuan ini, ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan bebanan kewangan sedia ada keluarga dan anak-anak juga berpeluang menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi,” tambahnya lagi.

Sementara itu, beliau yang telah berkhidmat selama 22 tahun sebagai Guru Bimbingan dan Kaunseling turut menyampaikan amanat dan pesanan kepada semua calon SPM yang bakal menerima keputusan tidak lama lagi untuk bijak membuat keputusan.

Yang pasti, keputusan yang bakal dibuat adalah penentu masa depan pelajar-pelajar dan juga negara.