Nama pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 dari Sekolah Menengah Ugama (Arab) Darul Iman, Beris Lalang, Bachok, Kelantan, Muhammad Shahril Saidi terus meniti di bibir masyarakat kerana pelbagai sisi ‘baik’ yang ada pada dirinya.
Selain memperoleh keputusan cemerlang, 11A dalam SPM 2022, kisah ‘baik’ Muhammad Shahril mula mendapat tempat dalam kalangan masyarakat kerana sanggup berkorban masa remajanya demi menjaga ibu tercinta, Tuan Faridah Tuan Ismail yang terlantar sakit saraf sejak empat tahun lalu.
Bagaimanapun, ALLAH lebih menyayangi ibunya dan telah pergi menghadap Ilahi pada Sabtu setelah meraikan kejayaan anaknya yang cemerlang dalam SPM 2022.
Apa yang lebih membanggakan, anak bongsu daripada enam adik beradik ini telah mengimamkan sendiri solat jenazah arwah ibunya dan selamat mengebumikannya di Tanah Perkuburan Islam Padang Lati, Jelawat, Bachok pada Ahad.
Masya-ALLAH, hebatnya anak muda ini! Satu persatu kebaikannya ‘didedahkan’ dan menjadi sebutan ramai.
Selain orang ramai bersimpati dengan apa yang terjadi, mereka tidak ketinggalan memberikan semangat dan kata-kata motivasi supaya Muhammad Shahril meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Keputusan 11A yang diperoleh Muhammad Shahril sudah cukup menggambarkan anak muda ini seorang pelajar yang sangat bijak dalam akademik.
Bagaimanapun, latar belakangnya yang boleh dikategorikan sebagai golongan susah menyukarkan pelajar ini melanjutkan pengajian.
Prihatin dengan permasalah tersebut, kerajaan Kelantan bersedia menanggung kos pengajian anak muda ini jika dia berhasrat menyambung pengajian.
Ahli Parlimen Bachok, Kelantan, Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, selain Muhammad Shahril, pihaknya juga akan membantu kakak pelajar itu yang turut menangguhkan pelajaran kerana menjaga ibu mereka yang sakit.
Tambah beliau, maklumat lengkap berkenaan pelajar dan kakaknya akan diambil untuk bantuan susulan.
"Kami sedia maklum perihal Muhammad Shahril daripada Penghulu Mukim Kandis, Bachok, Kelantan, Razali Yasod dan difahamkan kakaknya juga dapat tawaran belajar sebelum ini namun menolak kerana menjaga ibu mereka.
"Jadi kita akan beri bantuan yang berkaitan, terutamanya soal pendidikan,” jelasnya.
Mohd Syahir berkata, setakat ini Muhammad Shahril akan meneruskan pengajian di Maahad Yaakubiah Kampung Nipah, Bachok, Kelantan untuk menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
Dia berhasrat menyambung pelajaran di Universiti Malaya juga dalam bidang agama.
"Jika dia hendak sambung, kami akan bantu mana yang boleh dan pastikan pendidikan mereka diteruskan walaupun sudah kehilangan ibu bapa,” tuturnya.
Mohd Syahir turut menjelaskan, selain pendidikan, dia juga difahamkan pelajar berkenaan dan keluarganya datang daripada golongan susah.
Sebelum ini, mereka menyewa rumah kayu di Kampung Kandis sebelum berpindah ke rumah sewa yang lebih selesa di taman perumahan di kampung sama hasil perkongsian duit abang dan kakak yang bekerja demi keselesaan ibu mereka.
"Kami akan lihat juga ruang untuk bantu mereka dapatkan rumah melalui bantuan yang ada,” ujar Mohd Syahir lanjut.