8 Jun lalu, keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2022 telah diumumkan bagi setiap negeri di negara ini.
Selain meraikan kegembiraan kerana memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan itu, para calon tentunya sedang sibuk mencari-cari institusi pendidikan dan hala tuju kerjaya masing-masing bagi membina masa depan yang lebih cerah.
Untuk menjamin kehidupan yang lebih tersusun, calon SPM disarankan untuk merancang perjalanan akademik mereka dari awal iaitu dengan melakukan pembacaan, kajian kendiri (termasuklah menghubungi alumni sekolah, tokoh yang dikagumi atau institusi pilihan) dan juga mendapatkan bantuan profesional dari kaunselor dalam memilih bidang khusus yang ingin dipelajari.
Dalam membuat pilihan khusus, penulis yakin pelbagai persoalan pasti memenuhi ruang fikiran calon SPM yang berhasrat menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Soalan-soalan seperti apakah bidang pengajian yang ada; universiti manakah menawarkan jurusan diminati; peluang pekerjaan selepas pengajian dan sebagainya.
Justeru, para calon perlu bijak dan membuat keputusan dengan tepat sebelum mengisi apa jua permohonan pengajian ketika ini.
Jenis pengajian selepas SPM
Untuk makluman, terdapat beberapa jenis program pengajian selepas SPM yang boleh dipilih para calon.
Sebagai contoh, kita ada program matrikulasi, asasi, diploma, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Lazimnya, selepas mengikuti program yang dinyatakan, pelajar berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi iaitu ijazah sarjana muda (bagi program matrikulasi, asasi dan STPM) dan peringkat diploma (bagi program sijil TVET).
Minat dalam keguruan, ketenteraan dan kepolisan
Sementara itu, bagi pelajar yang berminat untuk menjadi pendidik, mereka boleh menceburi bidang keguruan sama ada di Institut Pendidikan Guru (IPG) atau universiti awam tempatan yang menawarkan kursus pendidikan.
Mereka juga boleh memilih universiti berfokus seperti Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang menawarkan banyak kursus-kursus pendidikan yang memenuhi pasaran guru masa kini.
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) pula adalah universiti berfokus yang menawarkan jurusan pengajian ketenteraan.
Pelajar yang berminat dengan aktiviti lasak dan mempunyai ketahanan fizikal serta mental yang tinggi bolehlah membuat permohonan pengajian ke UPNM.
Seterusnya, calon SPM yang berhasrat menceburi dunia pekerjaan laut, anda disarankan memohon kemasukan ke Akademi Laut Malaysia (ALAM) dengan mengikuti Diploma Pengajian Nautika, Diploma Kejuruteraan Marin dan beberapa program pengajian lain yang ditawarkan di ALAM.
Selain ALAM, calon juga boleh memilih untuk melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan polis di Kuala Lumpur yang dikenali Maktab Polis Diraja Malaysia Kuala Lumpur.
Peluang meningkatkan kemahiran TVET
Di Malaysia, terdapat pelbagai program berkaitan TVET yang ditawarkan di Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA).
Antara senarai ILKA yang boleh calon-calon SPM membuat pilihan adalah Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS); Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM); Bahagian Latihan Kemahiran Pertanian (BLKP) dan Institut Kemahiran di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Empat senarai ILKA tersebut menawarkan bidang pengajian TVET mengikut perkembangan terkini dunia pendidikan.
Menyambung pengajian ke luar negara
Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM) turut menyediakan beberapa saluran bagi calon yang ingin melanjutkan pengajian ke luar negara.
Kebiasaannya terdapat dua saluran bagi mereka yang memilih untuk belajar di negara tertentu iaitu melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan MARA.
Biasiswa yang ditawarkan oleh JPA adalah berkaitan bidang perubatan dan kebanyakan universiti yang ditaja adalah di timur tengah.
Malah, JPA turut menawarkan Program Khas Jepun, Korea, Perancis dan Jerman bagi jurusan kejuruteraan dan teknikal; sains dan teknologi dan sains sosial.
Manakala MARA pula menyediakan biasiswa Skim Pelajar Cemerlang dan Pinjaman Pengajian bagi pelajar-pelajar cemerlang untuk menyambung pengajian ke universiti-universiti terkemuka luar negara seperti University of Oxford, United Kingdom dan Universiti Harvard, Cambridge, Massachusetts, Amerika Syarikat.
Ini hanyalah sebahagian maklumat yang dapat membantu para calon SPM membuat pilihan dalam pengajian.
Dinasihatkan agar calon sentiasa mengikuti info terkini tentang peluang pengajian di media sosial untuk menyambung pembelajaran ke menara gading.
Maklumat Penulis
Pensyarah Kanan, Jabatan Psikologi, Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Wan Nurul Izza Wan Husin