Inilah Guru Besar SK Seri Permai yang luar biasa, berjaya bangunkan inovasi SnET 2.0 hingga muncul 10 Sekolah Terbaik Dunia 2023!

Iklan
Inovasi SnET 2.0 Cikgu Mohammad Sabarullah menarik perhatian ramai hingga berjaya mengharumkan nama sekolah dan negara di mata dunia.

Kejayaan dua buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Permai, Bayan Baru, Pulau Pinang dan SK Kanchong Darat, Banting, Selangor yang menduduki 10 Sekolah Terbaik Dunia 2023 pada Pertandingan World Best School Prizes (WBSP) benar-benar mengejutkan ramai.

Ia kerana bukan satu perkara mudah untuk berada dalam senarai Sekolah Terbaik Dunia 2023 apatah lagi membabitkan penyertaan sekolah dari seluruh dunia.

Iklan
Iklan

Sinar Bestari yakin, pelbagai cabaran dan dugaan dilalui kedua-dua sekolah terbabit sepanjang pertandingan berlangsung.

Hanya yang tabah, cekal dan kuat semangat sahaja mampu meneruskannya hingga ke noktah terakhir.

Iklan

Sinar Bestari menghubungi Guru Besar SK Seri Permai, Mohammad Sabarullah Shaik Ismail pada Ahad, bagi mendapatkan reaksi beliau atas pencapaian cemerlang sekolah berkenaan.

"Saya seperti dalam mimpi sebenarnya. Memang tidak sangka dengan tiba-tiba boleh sampai ke peringkat dunia.

Iklan

"Terkejut bercampur gembira dengan kejayaan berkenaan. Jika hendak diceritakan tentang cabaran, memang terlalu banyak, namun kekuatan, keyakinan dan keberanian yang ada dalam kalangan warga sekolah adalah penguat untuk kami lakar kecemerlangan seterusnya.

"Mohon doa daripada rakyat Malaysia agar SK Seri Permai dan SK SK Kanchong Darat layak ke pusingan seterusnya iaitu pemilihan untuk Top 3 pada Oktober ini. Doakan kami ya,” kata Cikgu Mohammad Sabarullah.

SK Seri Permai yang tersenarai bagi kategori Inovasi menerusi ciptaan Smart and Easy Table (SnET) 2.0 merupakan hasil ciptaan Cikgu Mohammad Sabarullah sendiri.

Ia adalah inovasi meja dan ruang simpanan buku yang bertujuan mengatasi masalah beg berat ke sekolah.

Beliau berkata, inovasi pertama di Malaysia dan di dunia itu bukan hanya menangani masalah beg berat sahaja malah mampu meningkatkan keyakinan dan keseronokan murid untuk hadir ke sekolah.

"SnET 2.0 dibangunkan sendiri oleh saya dengan jalinan kerjasama para guru, penuntut Institut Kemahiran Mara (IKM) Sungai Petani, Kedah dan warga Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Tun Uda, Bayan Lepas, Pulau Pinang serta sokongan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang.

"Inovasi ini mula dicipta pada 2020 dan setakat ini kami telah memasuki fasa ketiga di mana kira-kira 300 buah meja lagi dijangka siap September depan untuk kegunaan semua 1,500 murid,” ujarnya dengan menambah SK Seri Permai terdapat dua sesi dan ini bermakna 800 meja mencukupi untuk murid di sekolah tersebut.

SnET 2.0 merupakan inovasi meja dan ruang simpanan buku yang bertujuan mengatasi masalah beg berat ke sekolah.

Mengulas lanjut, Cikgu Mohammad Sabarullah berkata, kejayaan luar biasa SK Seri Permai menerusi SnET 2.0 itu turut mendapat pujian ramai masyarakat di Pulau Pinang.

"JPN Pulau Pinang sendiri memberitahu kecemerlangan SK Seri Permai di peringkat dunia adalah satu sejarah yang tidak pernah dicipta sebelum ini bagi negeri tersebut.

"Malah rakan-rakan guru dari negeri lain juga melahirkan keterujaan mereka untuk mengetahui rahsia kejayaan SK Seri Permai hingga berjaya di peringkat dunia.

"Sebagai pemimpin, saya menghargai segala ucapan dan kata-kata semangat daripada anda. Insya-ALLAH, kejayaan ini adalah kejayaan kita semua,” ujarnya yang mengucapkan terima kasih kepada isteri tercinta, Hasni Azizan yang menjadi kekuatan kepadanya sepanjang penghasilan inovasi tersebut.

Tidak dilupakan juga kepada ahli keluarga dan rakan-rakan guru, antaranya Penyelaras WBSP, Cikgu Sangari Sivabalan.