Lima saintis muda akan mewakili negara pada Mesyuarat Nobel Laureate ke-72 di Lindau, Jerman yang dijadualkan berlangsung mulai 25 hingga 30 Jun ini.
Saintis muda tersebut yang terdiri daripada Dr Liyana Azmi, 34, dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM); Dr Norhasmira Mohammad, 33, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor; Dr Wong Yin How, 35, (Taylors University); Dr Wong Sok Kuan, 34, (Universiti Kebangsaan Malaysia) dan Dr Afifah Mohamed, 33, merupakan antara 635 saintis muda yang terpilih dari seluruh dunia dan akan berinteraksi secara langsung dengan sekurang-kurangnya 40 Pemenang Anugerah Nobel dalam mesyuarat yang didedikasikan dalam bidang Fisiologi/Perubatan.
Mesyuarat Nobel Laureate merupakan platform terbaik kepada saintis muda yang juga peneraju sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) negara, bagi membina jaringan bersama saintis terbaik di peringkat antarabangsa.
Selain dapat bertemu dengan Pemenang Anugerah Nobel daripada pelbagai disiplin sains, mesyuarat itu juga mendedahkan saintis muda kepada contoh teladan (role model) para saintis sedia ada.
Malah ia turut memberi peluang saintis muda memperkenalkan penyelidikan masing-masing sekali gus membuka peluang bekerjasama dengan saintis sedia ada di makmal bertaraf dunia.
Setakat ini, Malaysia telah menghantar 84 saintis muda termasuk peserta tahun ini untuk mengambil bahagian dalam Mesyuarat Nobel Laureate tersebut.
Mereka akan menyertai pelbagai aktiviti menarik antaranya syarahan, perbincangan terbuka dan berpeluang menemui Pemenang Anugerah Nobel secara santai menerusi ‘Laureate Lunch’.
Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, terdapat keperluan untuk memberikan peluang kepada saintis muda Malaysia turut serta dalam program-program bertaraf global seperti Mesyuarat Nobel Laureate.
"Melalui perkongsian perspektif baharu dan idea-idea yang inovatif, saintis-saintis muda ini menjadi aset berharga bagi komuniti saintifik.
"Langkah ini adalah penting untuk memastikan generasi baharu saintis dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran yang relevan bagi menghadapi cabaran masa depan,” ujar Lih Kang dalam kenyataan media Akademi Sains Malaysia (ASM) pada Isnin.
Dalam pada itu, Presiden ASM merangkap Penasihat Sains, Teknologi dan Inovasi kepada kerajaan, Datuk Dr Tengku Mohd Azzman Shariffadeen berkata, penyertaan negara dalam mesyuarat itu adalah antara usaha ASM menerusi kolaborasi antarabangsa dalam memperkasa saintis muda dengan menyediakan mereka peluang untuk bekerjasama dengan saintis-saintis terkemuka di seluruh dunia.
"Penglibatan dalam mesyuarat ini juga secara tidak langsung memberikan pendedahan sangat berharga kepada mereka antaranya dapat memperluas rangkaian, berkongsi idea, pengetahuan dan penyelidikan.
"Justeru, program ini diharapkan mampu memberi inspirasi dan motivasi kepada saintis muda untuk memajukan sains dan teknologi sekali gus memberikan impak positif kepada masyarakat,” ujar beliau.