Terap nilai ESG dalam kalangan guru untuk lahirkan masyarakat peka alam sekitar - Abang Johari

Iklan

Golongan guru perlu menerapkan nilai-nilai yang sejajar dengan prinsip tadbir urus alam sekitar, sosial dan korporat (ESG) dalam kalangan pelajar bagi melahirkan masyarakat yang peka kepada isu alam sekitar seperti perubahan iklim global.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, langkah itu sejajar dengan tuntutan di bawah konsep Malaysia Madani selain membolehkan guru mengangkat martabat negeri dan membawanya untuk mencapai status maju menjelang 2030.

Iklan
Iklan

Oleh itu, kata beliau, warga pendidik perlu melengkapkan diri mereka agar dapat memudahcara pembelajaran pelajar dengan pemahaman dan kesedaran tentang ilmu serta maklumat yang relevan dengan zaman mereka.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan dan Tokoh Guru Sarawak 2023 di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Anthony, Sarikei, Sarawak pada Selasa.

Iklan

Pada majlis berkenaan, mantan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Abang Mat Ali Abang Masagus diumumkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan 2023.

Manakala Awangku Merali Pengiran Mohamed yang terkenal dengan penulisan pelbagai buku dan kegiatan seni menerima anugerah Tokoh Guru Sarawak 2023.

Iklan

Sementara itu, dalam teks ucapan Abang Johari yang dibacakan Timbalannya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Abang Johari berkata, pemahaman dan kesedaran ilmu itu penting bagi melengkapkan rakyat Sarawak dengan pengetahuan serta kemahiran seiring era digital dan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

"Era Industri 4.0 kini amat memerlukan golongan pekerja yang memiliki pelbagai kemahiran teknologi dalam meningkatkan kecekapan kerja.

"Justeru, menerusi Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, kerajaan negeri melaksanakan dasar untuk melengkapi usaha Kerajaan Persekutuan demi menambah baik pembangunan pendidikan negeri agar terus dinamik," jelasnya.

Ujar beliau lagi, masa hadapan ekonomi Sarawak yang mampan bergantung penuh kepada keupayaannya membangunkan sumber yang ada dengan mengambil kira kepentingan alam sekitar, kelestarian sumber dan tadbir urus yang baik.