"Jangan jadikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) sebagai satu matlamat yang perlu dikejar tetapi perkara penting yang perlu dititikberatkan adalah amanah dan tanggungjawab dalam menjalankan sesuatu tugas.” Itu pesanan yang dilontarkan oleh penerima APC, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Petaling Utama 2022, Azlina Hussin.
Memulakan kerjaya sebagai seorang guru pada 1993, beliau kini meneruskan perkhidmatannya dalam bidang pendidikan sebagai Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Selangor.
Lebih menarik lagi, ini merupakan anugerah kali ketiga yang diterimanya sepanjang 30 tahun berkecimpung dalam dunia pendidikan.
Beliau memberitahu, kali pertama menerima APC pada tahun 2000 ketika memegang jawatan sebagai guru akademik biasa, diikuti kali kedua pada 2014 ketika menyandang jawatan sebagai Penolong PPD Bahasa Melayu Menengah Petaling Perdana.
Sebagai seorang yang sudah meraih anugerah kecemerlangan itu lebih daripada sekali, Azlina sempat menitip pesan buat mereka yang berkecimpung dalam dunia pendidikan.
Katanya, APC ini perlu dilihat sebagai satu nilai tambah dan sebagai seorang penjawat awam khususnya guru adalah amat penting untuk melakukan sesuatu kerja dengan penuh tanggungjawab dan integriti.
"Perkara utama yang perlu dijaga adalah intergriti dan patuh kepada setiap arahan yang diberi oleh ketua.
"Bukan itu sahaja, mereka yang terlibat dalam dunia pendidikan juga perlu sentiasa ikhlas dan bersungguh-sungguh selain berusaha memberikan yang terbaik 100 peratus,” katanya ketika ditemui Sinar Bestari pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Petaling Utama 2022 yang berlangsung di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Puay Chai 2, Petaling Jaya, Selangor pada Selasa.
Bukan itu sahaja, Azlina turut menasihati para guru baharu untuk sentiasa menganggap setiap kerja dan jawatan yang diberi adalah sebagai satu proses pembelajaran.
Ujarnya, setiap tanggungjawab yang diberikan kepada seseorang itu adalah melihat kepada kemampuan mereka sendiri dan untuk itu sentiasalah mencari peluang untuk mempelajari perkara baru memandangkan dunia pendidikan juga bergerak pantas.