Kementerian Pendidikan (KPM) menggalakkan sekolah menganjurkan lawatan murid yang berunsurkan pendidikan dan boleh memberikan pengukuhan kepada proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).
Ia kerana aktiviti lawatan banyak manfaat dan kebaikan serta dapat menambah ilmu pengetahuan dan pengalaman murid.
Justeru, baru-baru ini KPM telah mengeluarkan Garis Panduan Lawatan Murid Sekolah bawah KPM Mulai Tahun 2023 bertujuan memberi penjelasan tentang tatacara pelaksanaan aktiviti lawatan murid bagi peringkat pendidikan prasekolah hingga peringkat pendidikan lepas menengah.
Malah, institusi pendidikan swasta yang berdaftar dengan KPM juga disarankan merujuk garis panduan berkenaan.
Sebagai rujukan bersama, Sinar Bestari kongsikan sebahagian isi kandungan Garis Panduan Lawatan Murid Sekolah bawah KPM Mulai Tahun 2023 yang dipetik menerusi portal KPM.
Jom kita lihat apa isi kandungannya!
(1) Berikut adalah tafsiran bagi terma yang digunakan dalam garis panduan tersebut.
a) Anggota Rombongan - Merujuk mana-mana murid, pengiring murid, Pegawai perkhidmatan pendidikan, ibu bapa atau individu yang dibenarkan oleh pelulus menyertai suatu lawatan murid sekolah.
b) Ketua Jabatan - Mana-mana Setiausaha Bahagian atau Pengarah Bahagian dalam KPM, Pengarah Pendidikan Negeri, Pegawai Pendidikan Daerah (PPD), Pengetua, Guru Besar atau mana-mana orang yang bertanggungjawab bagi institusi pendidikan.
c) Ketua Rombongan - Guru atau Pegawai perkhidmatan pendidikan atau mana-mana Pegawai perkhidmatan awam yang ditetapkan oleh Ketua Jabatan untuk mengetuai lawatan murid sekolah.
d) Lawatan murid merujuk kepada;
Perjalanan murid pergi dan balik dari suatu lokasi lain untuk menyertai aktiviti atau program pendidikan yang bertujuan menyokong dan mengukuhkan pelaksanaan aktiviti kurikulum dan kokurikulum.
Aktiviti yang dilaksanakan dikira sebagai waktu persekolahan.
Aktiviti yang dilaksanakan dikira sebagai PdP dan boleh dilakukan sebagai proses Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).
e) Pengiring Murid - Guru, Pegawai perkhidmatan pendidikan, anggota kumpulan pelaksana, Pegawai perkhidmatan awam atau jurulatih bertauliah yang diberikan kebenaran oleh Pelulus sebagai orang yang bertangunggjawab untuk mengiringi lawatan murid sekolah.
f) Pelulus merupakan
Pegawai Pengawal (Ketua Setiausaha)
Ketua Pendaftar Institut Pendidikan Guru (IPG) (Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia)
Timbalan Ketua Pendaftar IPG (Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia) (Berdasarkan peruntukan kuasa Seksyen 5 (5) Akta Pendidikan 1996)
Pendaftar IPG (Pengarah Pendidikan Negeri)
Timbalan Pendaftar IPG (Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri)
ATAU
Penolong Pendaftar IPG (Pegawai Pendidikan Daerah)
(2) Tujuan lawatan murid
Lawatan murid sekolah yang dirancang hendaklah diadakan untuk;
i. Program akademik atau kokurikulum
ii. Pertandingan atau perkhemahan
iii. Lawatan sambil belajar
ATAU
iv. Apa-apa program atau aktiviti lain yang ditentukan oleh Pelulus.
(3) Pelaksanaan lawatan murid
Tempoh Lawatan
Lawatan murid sekolah dibenarkan sehingga dua kali dalam setahun bagi setiap murid mengikut keperluan dan kesesuaian.
Tempoh lawatan adalah tertakluk kepada kelulusan oleh Pelulus.
Jika aktiviti lawatan tidak memerlukan murid bermalam, maka aktiviti lawatan hendaklah ditamatkan dan tiba semula ke sekolah sebelum pukul 12 malam. Pelulus boleh mempertimbangkan lanjutan waktu lawatan berdasarkan keperluan dan lokasi aktiviti dilaksanakan.
Jika aktiviti lawatan memerlukan murid bermalam, maka aktiviti yang dibenarkan adalah tidak melebihi pukul 12 malam. Pelulus boleh mempertimbangkan lanjutan waktu aktiviti berdasarkan keperluan dan lokasi aktiviti dilaksanakan.
Lokasi dan Aktiviti Lawatan
Tempat lawatan mestilah sesuai dengan objektif PdP atau kokurikulum yang telah dirancang dan selamat untuk dilawati oleh murid.
Aktiviti lawatan hendaklah dijalankan di tempat yang telah diluluskan oleh Pelulus.
Lawatan murid boleh dilaksanakan dalam atau luar negara.
Lawatan murid ke negara yang dilarang oleh kerajaan adalah tidak dibenarkan.
Lawatan murid boleh dilaksanakan di tempat-tempat yang bermanfaat, sebagai contoh kategori tempat;
i. Sains dan Teknologi
ii. Alam sekitar
iii. Mercu tanda
iv. Galeri
v. Kesenian dan kebudayaan
vi. Sejarah
vii. Mana-mana tempat-tempat lain yang dianggap sesuai dengan matlamat PdP murid.
Lawatan murid adalah dilarang bagi aktiviti seperti berikut;
i. Tdak bermoral
ii. Berbahaya dan boleh menjejaskan keselamatan
iii. Memudaratkan kesihatan murid
ATAU
iv. Apa-apa aktiviti yang dilarang oleh Pelulus.
Ini hanyalah beberapa maklumat penting yang terkandung dalam Garis Panduan Lawatan Murid Sekolah bawah KPM Mulai Tahun 2023.
Kepada pihak sekolah yang ingin mengetahui secara mendalam garis panduan berkenaan, anda bolehlah merujuknya DI SINI.