Kejadian kanak-kanak berusia enam tahun yang mendakwa sering dicium dan digigit oleh guru lelaki di sebuah sekolah di Pantai Timur baru-baru ini telah menjadi perhatian seluruh masyarakat di negara ini.
Rata-ratanya melahirkan rasa terkejut dan sedih dengan sikap cikgu lelaki itu yang sanggup memperlakukan mangsa sedemikian rupa sedangkan murid tersebut hanyalah seorang anak kecil yang masih belum mengerti apa-apa.
Menurut ibu murid berkenaan, anak lelakinya kini mengalami emosi tidak stabil dan kurang selera makan.
"Dia juga sering mengamuk, berguling-guling, merasa takut dan enggan ke sekolah.
"Sebagai ibu, saya bimbang melihat keadaan anak selepas apa yang berlaku, justeru saya telah berjumpa pihak pentadbiran sekolah dan akan mengambil tindakan undang-undang,” ujarnya seperti dipetik portal tempatan.
Susulan kejadian itu, Kementerian Pendidikan (KPM) tampil memberi kenyataan dengan memohon semua pihak menghormati dan memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan penuh berhubung kes terbabit.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, KPM peduli dan memberi jaminan akan menyiasat sebarang aduan melibatkan keganasan, buli dan sebagainya yang membabitkan para pelajar.
"Jangan risau, saya beri jaminan akan menyiasat perkara ini. Itu yang mesti kita sampaikan kepada masyarakat dan kita kena beri ruang dan hormat proses siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa.
"Saya sudah serahkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) juga untuk siasat perkara tersebut,” tegasnya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Digital Utilisation and Technology Awards (DUTA) 2022 di Auditorium Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, Kuala Lumpur pada Selasa.
Dalam pada itu, sebanyak 43 anugerah disampaikan kepada pemenang pada majlis tersebut yang merangkumi beberapa kategori seperti Anugerah Pusat Sumber Sekolah, Anugerah Pendidikan Digital, Ikon Guru Digital dan Ikon Murid Digital.
Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Ladang Voules, Segamat, Johor, telah diumum sebagai pemenang Anugerah Pendidikan Digital Kategori Emas bagi Sekolah Kurang Murid (SKM) Terbaik manakala Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bintulu, Sarawak, dinobatkan pemenang PPD Terbaik.
Majlis DUTA merupakan usaha KPM dalam memberikan penghargaan dan pengiktirafan tertinggi kepada murid, guru, sekolah, PPD dan JPN atas pemerkasaan penggunaan teknologi secara inovatif, kreatif dan beretika dalam pengajaran dan pembelajaran selain melahirkan generasi fasih digital yang berdaya saing.