Masih lagi terkejut! Ini reaksi Nurul Nazieha apabila diumum 50 Finalis Global Student Prize 2023

Iklan
Didoakan Nurul Nazieha berjaya membawa pulang kejayaan menerusi Global Student Prize 2023.

Pengumuman pelajar jurusan Bakeri dan Pastri, Kolej Vokasional (KV) Keningau, Sabah, Nurul Nazieha Jasnie sebagai 50 finalis Global Student Prize 2023 anjuran Varkey Foundation yang berpangkalan di United Kingdom (UK) pada Rabu ternyata mengejutkan empunya diri.

Ketika dihubungi Sinar Bestari, Nurul Nazieha yang baru sahaja berusia 19 tahun berkata, dia kini berdebar, terkejut, gembira dan bermacam-macam lagi perasaan yang sukar untuk diterjemahkan

Iklan
Iklan

"Pertama sekali, sukar untuk saya percaya apabila terpilih sebagai 50 finalis Global Student Prize 2023.

"Ini kerana barisan calon yang bertanding sangat hebat malah rata-ratanya memiliki pencapaian luar biasa dalam diri masing-masing.

Iklan

"Bagaimanapun, saya anggap ini rezeki daripada ALLAH dan saya dedikasikannya untuk keluarga, guru, rakan-rakan dan semua individu yang sentiasa menyokong tanpa henti,” ujar Nurul Nazieha.

Global Student Prize 2023 anjuran Varkey Foundation merupakan satu pertandingan yang menawarkan hadiah wang tunai sebanyak AS$100,000 (RM454,000) kepada juara.

Iklan

Sebanyak 3,851 pencalonan membabitkan 122 negara antaranya Malaysia, Jerman, Dubai, Perancis, Itali, Ukraine, Poland, Nigeria dan Ghana telah diterima dan Nurul Nazieha antara yang disenarai pendek untuk memenangi pertandingan berkenaan.

Menurut kenyataan Varkey Foundation, pemilihan anak kelahiran Kota Belud, Sabah, ini sebagai finalis berdasarkan kejayaannya menubuhkan perniagaan Tiaa Cookies pada 2022 sekali gus berjaya membantu golongan berpendapatan rendah di Sabah.

Sejak Tiaa Cookies dilancarkan, Nurul Nazieha sentiasa menambah baik strategi perniagaannya termasuk menggunakan beg kertas mesra alam dan melaksanakan promosi dengan mesej positif pada minggu kesihatan mental pelajar.

Menerusi Tiaa Cookies, Nurul Nazieha berjaya melatih 120 orang suri rumah daripada keluarga B40 dalam bidang pembuatan kek dan perniagaan.

Selain itu, pelajar hebat berkenaan turut terbabit dalam pelbagai program dan kempen bagi meningkatkan kesedaran orang ramai berhubung kepentingan pendidikan vokasional di Malaysia.

Nurul Nazieha

Cabaran sepanjang pertandingan

Mengulas mengenai cabaran sepanjang Global Student Prize 2023 berlangsung, Nurul Nazieha berkata, sesi temubual bersama panel adalah antara yang paling diingati hingga kini.

"Selain cabaran menghantar permohonan secara dalam talian, saya berhadapan situasi mendebarkan ketika panel bertanyakan beberapa soalan yang berlangsung secara Google Meet.

"Saya bernasib baik kerana dapat menjawab semua soalan dengan lancar walaupun perlu berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris. Alhamdulillah,” ujar anak ketiga daripada empat adik beradik ini.

Sementara itu, penulis tidak ketinggalan bertanyakan Nurul Nazieha, apa yang akan dilakukannya jika menjuarai Global Student Prize 2023 seterusnya membawa pulang wang tunai sebanyak RM454,000.

"Impian saya banyak, salah satunya mahu menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi dan mengembangkan perniagaan Tiaa Cookies sekali gus menjadikannya sebagai perusahaan sosial melalui gabungan dengan bengkel komuniti,” katanya dengan gembira.

Dalam pada itu, Sinar Bestari menghubungi seorang guru pembimbing Nurul Nazieha bagi mendapatkan pandangannya tentang kejayaan pelajar tersebut.

Menurut Cikgu Dr Sirhajwan Idek, 35, Nurul Nazieha merupakan seorang pelajar yang cukup aktif dalam apa jua projek komuniti di Kota Belud.

Malah dia juga mempunyai hubungan baik dengan penduduk kampung hingga disayangi semua orang.

"Sepanjang mengenali Nurul Nazieha, dia memang seorang yang rajin menimba ilmu dalam dunia kemahiran terutamanya bakeri dan pastri.

"Guru-guru di KV Keningau sering memuji personaliti Nurul Nazieha yang sentiasa bertanyakan soalan berkaitan bakeri dan pastri ketika sesi pembelajaran berlangsung,” ujarnya.

Kata Cikgu Sirhajwan, seluruh warga KV Keningau melonjak kegembiraan apabila Nurul Nazieha diumumkan antara 50 finalis Global Student Prize 2023.

"Dia berusaha keras untuk tercalon dalam pertandingan tersebut.

"Sebagai guru, kami akan sentiasa memberi sokongan dan mendoakan Nurul Nazieha berjaya membawa pulang kejayaan,” ujarnya yang merupakan guru Bahasa Inggeris di kolej tersebut.