Kronologi kisah 4 murid ditimpa musibah! Semoga keluarga tabah dan kuat

Iklan

Kebelakangan ini, negara digemparkan dengan beberapa kejadian yang tidak diingini berlaku membabitkan murid serta pelajar dari sekolah rendah dan menengah.

Kejadian seperti murid cedera ditimpa tangki pam tandas; murid dirotan hingga cedera; kematian murid berusia 10 tahun didakwa kecuaian hospital dan pelajar maut selepas terjatuh dari tingkat dua menggambarkan kemalangan boleh terjadi tidak kira kepada orang muda mahupun orang tua.

Iklan
Iklan

Apabila situasi sebegini berlaku, sudah tentu orang ramai meluahkan rasa sedih dan pilu mereka terhadap apa yang berlaku.

Sinar Bestari memetik beberapa kata-kata sesuai untuk dikongsikan berhubung apa yang berlaku iaitu;

Iklan

"Musibah datang tanpa undangan, menghampiri tidak terhidu baunya. Ia adalah ujian untuk orang yang beriman.”

"Benarlah bagai dikata bahawa setiap yang ALLAH ciptakan itu ada hikmahnya. Sesungguhnya pada setiap bala itu ada nikmat dan menjadi kewajiban setiap hamba untuk bersabar dan bersyukur untuk menghadapi kedua-duanya.” - Imam Al-Ghazali.

Iklan

"Apabila seseorang itu menghadapi kematian seseorang yang dikasihi, hendaklah dia menggambarkan bahawa mereka sekeluarga sedang menuju ke suatu tempat tinggal yang abadi.” - Imam Al-Ghazali.

Bagi mengetahui lebih mendalam tentang kejadian yang disenaraikan di atas, Sinar Bestari catatkan serba ringkas kes yang melibatkan anak-anak didik di negara ini.

Semoga perkongsian berkenaan menjadi peringatan kepada seluruh rakyat Malaysia hari-hari yang dilalui adakalanya menyedihkan, mengejutkan, mendebarkan dan menggembirakan.

1) Seorang murid perempuan Tahun Tiga dilaporkan cedera akibat ditimpa tangki pam tandas yang tercabut di sebuah sekolah rendah di Ipoh, Perak Selasa lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, kejadian berlaku apabila tangki seramik itu jatuh mengenai kepala murid sesi petang tersebut ketika mengepam tandas selepas menggunakannya.

"Murid berkenaan memaklumkan kejadian menimpanya itu kepada guru dan tindakan awal telah diambil pihak sekolah dengan menghantar dia kepada ibunya sebelum dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk mendapatkan rawatan.

"Hasil pemeriksaan X-ray mendapati tiada sebarang kecederaan serius pada murid itu dan dia boleh dibawa balik ke rumah,” kata Khairudin.

2) Murid lelaki Tahun Lima dari sebuah sekolah di Segamat, Johor, mengalami kecederaan di badan dan muka selepas didakwa dirotan guru besar kerana tidak menyiapkan kerja sekolah.

Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, pihaknya menyerahkan sepenuhnya perkara itu kepada pihak berkuasa dan pada masa sama sesi intervensi termasuk sokongan psikososial kepada guru dan murid terlibat turut dilaksanakan.

"Sebarang tindakan ke atas guru besar berkenaan adalah bergantung kepada hasil siasatan,” ujar beliau.

3) Kisah Dea Maisarah Bada, murid Tahun Empat yang didakwa meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang, Selangor, tular di media sosial sehingga mencetuskan pelbagai persepsi orang ramai.

Pihak hospital juga didakwa membuat laporan palsu berhubung kematian murid itu dengan mengatakan mangsa sudah meninggal dunia ketika dihantar untuk mendapatkan rawatan.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, kematian Dea Maisarah kini disiasat pihak berkuasa manakala Pengarah HTAR, Dr Zulkarnain Mohd Rawi dilaporkan berkata, punca kematian murid itu masih dalam siasatan Jabatan Perubatan Forensik hospital berkenaan.

4) Rakyat di Melaka pada Khamis gempar dengan kejadian pelajar perempuan Tingkatan Satu yang maut dipercayai terjatuh dari tingkat dua bangunan sekolah menengah di Durian Daun.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Akhir sekali, Sinar Bestari mendoakan hari-hari yang akan datang tiada lagi kejadian sedemikian akan berlaku kepada para pelajar.

Sekiranya terjadi juga, kita harus yakin yang ALLAH tidak menimpakan ujian kepada hambanya melainkan ia sesuai dengan darjat dan tahap keimananan hamba tersebut sejajar dengan firmanNya:

"ALLAH tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya - Surah al-Baqarah: 286