Selepas Majlis Konvokesyen Ijazah Doktor Pendidikan Universiti Utara Malaysia Ke-38 pada 9 hingga 13 November lalu, nama Guru Cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kedah ini menjadi inspirasi kepada warga pendidik dan pelajar di seluruh Kedah.
Penganugerahan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) kepada Dr Ismail Salleh bukan sekadar pengiktirafan akademik tetapi juga lambang komitmen berterusan untuk meningkatkan ilmu dan profesionalisme, yang menjadi contoh kepada pelajar untuk berusaha tanpa mengenal lelah.
Ismail dilahirkan di kampung kecil Pedu, Kuala Nerang, anak kepada pasangan penoreh getah dan pesawah padi. Hidup serba sederhana mengajar beliau erti disiplin dan tanggungjawab sejak kecil. Setiap pagi, ibunya akan mengayuh basikal tua menembusi hujan dan panas, membawa beliau ke sekolah.
Bagi Ismail, setiap kayuhan itu bukan sekadar perjalanan fizikal tetapi simbol pengorbanan, doa dan kasih sayang seorang ibu. Kenangan itu menjadi sumber kekuatan yang terus membimbingnya hingga ke hari ini.
“Setiap kayuhan mak adalah doa yang saya bawa dalam setiap langkah. Ia mengajar saya erti pengorbanan dan kesabaran,” katanya.
Inspirasi itu menjadi asas perjuangan beliau menempuh jalan akademik, di mana beliau menimba ilmu di Maktab Mahmud Alor Setar, sebelum ke Maahad Qiraat Al-Azhar, Mesir, mendalami qiraat dan adab ilmuwan.
Selepas itu, beliau menyambung pengajian Master Pendidikan dan seterusnya Ijazah Doktor Pendidikan di Universiti Utara Malaysia, secara part-time, tanpa biasiswa dan tanpa cuti.
"Cabaran PhD bukan mudah. Malam-malam panjang dihabiskan menulis tesis, hujung minggu digunakan untuk melatih pelajar dan cuti sekolah digunakan untuk persiapan pertandingan. Namun, bayangan ibu yang mengayuh basikal demi masa depan, selalu menjadi semangat baru.
"Setiap keringat, setiap usaha, saya lakukan bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi untuk membalas jasa ibu bapa yang telah menanam nilai disiplin, doa dan harapan sejak kecil," kongsi beliau.
Walaupun sibuk dengan PhD, Ismail tetap membimbing pelajar SMKA Kedah dalam bidang robotik dan inovasi, sehingga berjaya menembusi pentas antarabangsa. Pasukan pelajarnya menjuarai pertandingan MakeX Robotic Competition Global Final 2024 di Shenzhen, China, World Invention Creativity Olympic 2024 di Korea Selatan serta World Maths & Science Competition di Jakarta, Indonesia selain turut menyertai International Youth Exchange 2025 di Korea Selatan dan International Innovation Competition 2025 di Malaysia.
Beliau percaya bahawa setiap kejayaan pelajar adalah bukti bahawa usaha gigih dan pengorbanan membuahkan hasil serta menjadi inspirasi kepada semua yang mengikuti jejaknya.
Kerja keras Ismail turut diiktiraf melalui Anugerah Guru Inovasi Peringkat Kebangsaan sempena Hari Guru 2021 dan pengiktirafan Adiguru / Anugerah Guru Inovatif.
Namun bagi beliau, pencapaian sebenar adalah melihat pelajar berjaya dan membalas jasa ibu bapa. Gelaran PhD ini adalah hadiah untuk mak dan ayah yang menanam nilai disiplin, doa, dan kasih sayang sejak beliau kecil.
Kini, Ismail berdiri sebagai mentor dan sumber inspirasi. Dari kampung kecil Pedu ke pentas antarabangsa, perjalanan beliau membuktikan bahawa asal-usul sederhana bukan penghalang untuk berjaya, selagi ada disiplin, doa, dan tekad.
Kisah beliau menunjukkan bahawa PhD bukan sekadar gelaran tetapi perjalanan hidup yang mengangkat generasi, menghargai jasa ibu bapa dan memberi inspirasi kepada pelajar serta warga pendidikan.