USM, KPT perkasakan mahasiswa dalam semarak siswa MADANI

Iklan

Kerjasama antara Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan Universiti Sains Malaysia (USM) boleh diibaratkan aur dan tebing yang saling memerlukan serta takkan terpisah ibarat laut dan pantai.

Iklan
Iklan

Begitulah gambaran tindakan ke atas lontaran idea dan konsep Program Semarak Siswa Madani yang telah dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada 20 Jun lalu dan kemudian disambut positif oleh USM di bawah pimpinan Naib Canselornya Profesor Datuk Dr Abdul Rahman Mohamed.

Profesor Madya Dr Nazarudin.

Iklan

Program tersebut adalah untuk menjajarkan semula semua aktiviti berkaitan perkongsian ilmu, inovasi, teknologi dan khidmat masyarakat atau komuniti dengan lebih strategik.

Inisiatif ini turut menfokuskan kepada komuniti dan masyarakat bagi menyediakan platform kepada pelajar untuk mempromosikan inovasi dan idea-idea baharu dalam pelbagai bidang antaranya teknologi, ekonomi manusiawi, ihsan dan mampan.

Iklan

Ini sekali gus dapat membuka ruang dan peluang kepada mahasiswa bagi mengembangkan kemahiran, bakat serta melatih mereka untuk berfikir secara kritis dan kreatif dalam menangani masalah komuniti setempat sehingga yang berat boleh sama dipikul dan yang ringan sama dijinjing.

Empat komponen penting program yang difokuskan dalam Semarak Siswa Madani adalah KPT Prihatin Madani, Student for Society (S4S), Knowledge Transfer Programme@Komuniti dan TVET@Komuniti Madani.

Fasa pertama program ini berlangsung dari Julai hingga Disember 2023 dan kemudiannya akan diikuti fasa dua bermula dari Januari hingga Jun 2024.

KPT Prihatin Madani adalah bertujuan untuk penjituan kepada kebajikan serta kesejahteraan komuniti yang di dalamnya terkandung tiga inisiatif utama iaitu aspek kesihatan, pendidikan dan kebajikan.

Di bawah bidang kesihatan USM yang sememangnya telah dikenali sebagai salah sebuah institusi yang mempunyai fasiliti terbaik di dunia dari segi penjagaan kesihatan, melaksanakan program pemeriksaan kesihatan melalui gabungan entiti kesihatan yang dimilikinya, iaitu IPPT (Institut Penyelidikan dan Pergigian Termaju) di Bertam, HUSM (Hospital Universiti Sains Malaysia) di Kubang Krian dan Pusat Sejahtera.

Mereka menjalankan aktiviti tersebut dan dapat dimanfaatkan oleh komuniti di kawasan-kawasan terpilih di sekitar Pulau Pinang, khususnya di Bertam, Sungai Dua dan Sungai Aceh.

Menyahut dari aspek pendidikan pula, pihak USM dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang telah mengambil inisiatif untuk mendekati pelajar Tingkatan Enam dengan beberapa pendekatan dan aktiviti.

Melalui program kerjasama antara USM dan JPN Pulau Pinang ini akan memberikan manfaat kepada seramai 1,500 orang pelajar daripada 16 buah Kolej Tingkatan Enam di Pulau Pinang.

Program ini akan berjalan dari 24 hingga 27 Julai 2023 melibatkan seramai 60 orang warga USM yang bertugas setiap hari secara sukarela.

Mereka yang terlibat adalah dalam kalangan para pensyarah universiti, pegawai, staf dan mahasiswa USM yang terlatih.

Program ini dijalankan di bawah jenama KPT iaitu ‘Program Selangkah Ke Universiti’ dan ‘Jom Masuk U’. Objektif utama program pendidikan ini yang dikendalikan melalui ceramah tentang alam kampus sebagai suatu reality adalah penting untuk menarik minat pelajar bagi meneruskan pelajaran di IPT setelah tamat Tingkatan Enam nanti.

Para pelajar ini juga akan didedahkan dan dilatih menerusi Latihan Dalam Kumpulan (LDK) yang memfokuskan perkongsian pengalaman para mahasiswa USM secara langsung. Ia akan dapat merangsang dan sekali gus mendorong minat para mereka untuk berusaha bagi memasuki institusi pengajian tinggi (IPT).

Aktiviti ini bukan sahaja dapat meningkatkan daya juang para pelajar Kolej Tingkatan Enam untuk terus menyambung pengajian tetapi juga dalam masa sama dapat menyemarakkan lagi pemerkasaan mahasiswa dan penghakupayaan mereka ke atas masyarakat di Pulau Pinang.

Tindakan ini penting kerana dewasa ini dilaporkan ramai pelajar yang mendapat tempat di IPT tetapi telah menolaknya. Berdasarkan jawapan pihak KPT kepada Dewan Negara baru-baru ini seramai 188,884 orang atau 51 peratus pelajar bumiputera lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah menolak tawaran kemasukan ke institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan tempoh tiga tahun terakhir sejak 2020.

Malah jumlah penolakan dalam kalangan lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan asasi juga makin meningkat dari tahun ke tahun.

Sementara itu, dari segi kebajikan pula pihak USM mengambil inisiatif untuk menyantuni dan menyebarkan bakul makanan kepada asnaf-asnaf terpilih di sekitar Pulau Pinang. Aktiviti ini jelas memberikan manfaat kepada masyarakat di luar kampus dan adalah untuk meneruskan legasi hasrat Menteri KPT dalam program makanan rahmah.

Sementara dalam kampus pula, pihak USM melalui program makanan rahmah ini juga telah dilaksanakan melalui menu rahmah yang disediakan di setiap kafetaria yang ada di dalam USM. Program ini tentunya mendapat sambutan amat baik dalam kalangan mereka yang mengunjungi kafetaria di dalam kampus.

Inisiatif kedua di bawah Program Semarak Siswa Madani di Universiti Awam ialah Student for Society (S4S) yang bertujuan untuk mewujudkan perkongsian dan perluasan pengetahuan atau kemahiran kepada komuniti.

Bagi menyahut seruan Menteri KPT ini, maka USM keluar dengan empat aktiviti utama iaitu melalui aktiviti kesukanan, kesukarelawanan, keusahawanan dan pendidikan.

Dalam aktiviti sukan, penganjuran sukan rakyat menjadi pilihan dalam menjalinkan hubungan akrab antara pihak KPT, Universiti Awam (UA) melalui USM, para mahasiswa dengan komuniti setempat yang merangkumi pelbagai peringkat umur khususnya di Pulau Pinang.

Antara aktiviti dalam sukan rakyat, menurut Pengarah Pusat Pembangunan Bakat (TDC), USM, Zulkifli Che Hussin, adalah permainan bola tampar pantai, tarik tali, batu seremban, timbang bulu ayam, boling kelapa, lari dalam guni, dart, dan lain-lain.

Selain itu, kepada pencinta peranti skrim komputer dan gajet mereka juga tidak dilupakan. Melalui aktiviti ini juga dianjurkan program e-game yang boleh menarik minat golongan muda untuk berpatisipasi dan sekali gus akan mengalakkan mereka bergaul dengan komuniti khususnya dengan warga USM termasuk mahasiswa dan KPT.

Dalam pada itu, program kesukarelawanan pula adalah program yang sememangnya telah berjalan secara berterusan sepanjang tahun di USM dan UA yang lain.

Program berikutnya adalah keusahawanan yang berusaha untuk memberikan pengalaman tentang bagaimana mahu memulakan bidang keusahawanan kepada masyarakat dan mendepani cabaran ekonomi melalui keusahawanan komuniti yang diberikan secara langsung oleh para pensyarah yang memang mahir dalam bidang ini. Sementara itu pendidikan pula adalah bidang yang sememangnya menjadi teras kepada kewujudan USM itu sendiri yang tak perlu diperkenalkan lagi.

Di bawah Program Semarak Siswa Madani juga, satu inisiatif lain diambil iaitu Knowledge Transfer Programme@komuniti. Program pemindahan ilmu kepada komuniti ini adalah untuk memperluaskan dan memperkukuhkan ilmu komuniti.

Menurut Pengarah Pusat Media dan Perhubungan Awam (MPRC) USM, Dr Ahmad Zulman Mohd Zain, program ini sememangnya tidak asing lagi kepada USM kerana sejak lebih dari 10 tahun telah menerajui dan menjalankan pelbagai program atau aktiviti yang berkaitan dengan pemindahan ilmu ini. Dalam inisiatif ini melibatkan inovasi sosial, upaya masyarakat dan basmi kemiskinan sebagai tujuan utamanya.

Dalam program pemindahan ilmu ini USM melalui kerjasama dengan Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) menganjurkan kursus dan program berdasarkan kepakaran yang ada di USM.

Melalui kepakaran yang ada, mereka cuba untuk menyedar dan mendidik masyarakat contohnya bagaimana memajukan pertanian bandar yang telah dijalankan di Balik Pulau, Pulau Pinang sebelum ini dengan jayanya.

Kursus asas penanaman bandar dan pertanian moden dianjurkan untuk masyarakat antara aktivitinya adalah perkongsian tips menanam di halaman rumah, penyediaan baja organik untuk tanaman, pemilihan benih tanaman yang baik dan pemantauan kesihatan pokok.

Begitu juga dengan program madu kelulut, padi polibag yang telah diperkenalkan tidak hanya untuk masyarakat Pulau Pinang tetapi telah mendapat sambutan dari seluruh negara dalam beberapa siri kursus sebelum ini.

Program lain termasuklah program Kompos to Azzolla di Sungai Aceh, Nibong Tebal. Kompus adalah bahan makanan terbaik untuk tumbuhan yang terhasil daripada proses pereputan bahan organik. Baja kompos juga dapat membaiki dan menjamin kesuburan tanah. Manakala Azzolla pula merupakan sejenis tumbuhan rumpair yang kaya dengan protin, vitamin, asid amino dan mineral.

Di Malaysia terkenal dengan jenis Azzolla Pinnata yang banyak diusahakan dan dihasilkan sebagai makanan alternatif haiwan.

Ini adalah antara program yang dijalankan oleh USM dan juga UA lain bagi menyokong Semarak Siswa Madani yang digerakkan pada peringkat KPT.

Semua program ini juga adalah dalam kerangka untuk memperkasakan mahasiswa yang berfokus kepada jalinan akrab bersama komuniti.

Mereka diberikan ruang dan peluang yang bukan sahaja berkebolehan untuk menguruskan diri mereka sendiri tetapi juga yang jauh lebih penting adalah untuk mereka melibatkan diri dalam masyarakat seterusnya dapat memajukan diri dan masyarakat, ibarat kata, ikhtiar menjalani untung menyudahi. Moga aur ditanam, betong tumbuh. Jom ikut Semarak Siswa Madani.

Maklumat penulis:

Pensyarah Sejarah, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, USM, Profesor Madya Dr Nazarudin Zainun.