Program Jelajah TV Pusat Sumber Sekolah (TV PSS) anjuran Sinar Bestari diteruskan lagi dengan melibatkan 20 buah sekolah rendah dan menengah di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Gombak.
Program yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Perak, Rawang, Selangor pada Selasa itu mendapat kerjasama Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan (SSTP), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor.
Program tersebut merupakan sebuah inisiatif bagi memberi pendedahan kepada para pelajar tentang dunia kewartawanan dan penyiaran yang merangkumi teknik penulisan, seni rakaman dan suntingan video.
Antara sekolah yang terlibat pada sesi kali ini ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Sinaran Budi, SK Taman Tun Teja, SK Taman Desa, SK Taman Desa 2, SK Desan Amanpuri, SK Bandar Baru Selayang 2, SK Taman Samudera, SK Bandar Tasik Puteri, SK Bandar Baru Selayang, SK Taman Selayang 1.
Turut serta pelajar-pelajar sekolah menengah dari SMK Idea Heights, SMK Kepong, SMK Bukit Gading, SMK Gombak Setia, SMK Selayang Baru, SMK Bandar Baru Sungai Buloh, SMK Seri Garing, SMK Seri Selayang, SMK Darul Ehsan dan SMK Hillcrest.
Menurut Penolong Pegawai PPD Gombak, Abd Ghani Sanusi, pihaknya berbesar hati dapat menjalinkan kerjasama dengan Sinar Bestari menerusi program yang dijalankan.
"Kita mahukan para pelajar mendapat penerangan dengan lebih meluas mengenai dunia digital memandangkan ia merupakan medium utama dalam dunia pendidikan hari ini.
"Sudah pasti kerjasama bersama Sinar Bestari merupakan satu tindakan yang tepat kerana rata-rata kakitangannya merupakan pengamal medid yang berpengalaman,” ujarnya kepada Sinar Bestari pada Selasa.
Sementara itu, guru pembimbing SK Taman Tun Teja, Cikgu Ainurul Liza Abd Mutalib berkata, inisiatif yang dianjurkan itu sedikit sebanyak membuka peluang lebih luas kepada pelajar mengenai dunia pendigitalan.
"Kebiasaan mereka (pelajar) lebih terdedah kepada kandungan video berisi hiburan semata-mata.
"Oleh itu, dengan program sebegini ia boleh memberi idea kepada anak-anak ini untuk menghasilkan video yang lebih memberi impak positif dan bersifat pendidikan kepada orang ramai,” ujar beliau.
Pandangan tersebut turut dipersetujui guru pembimbing SK Sinaran Budi, Abd Halim Lamijan.
"Sekarang ini, dengan penggunaan telefon pintar para pelajar dapat mengaplikasikan pelbagai konsep kreativiti terutama ketika menggunakan gajet tersebut.
"Jadi, tiada alasan penggunaan teknologi tersebut tidak membawa sebarang nilai tambah dalam dunia pendidikan hari ini,” ulasnya.
Dalam pada itu, rata-rata pelajar yang menyertai program tersebut memberitahu segala ilmu yang diberikan pastinya akan dipraktikkan.
Jom kita lihat apa kata mereka
"Program Jelajah TVPSS ini mendedahkan saya dan rakan selaku wakil PSS SK Sinaran Budi untuk memproses gambar dan mengambil video dengan pelbagai gaya.
"Saya juga gembira kerana dengan adanya program sebegini, ia dapat melatih saya dan rakan- rakan menghasilkan video secara berkumpulan.” - Rishivarshaa, 12, SK Sinaran Budi.
"Program ini beri impak yang sangat bagus memandangkan kami telah mempunyai studio PSS di sekolah, inisiatif yang dijalankan membantu kami memperkemaskan usaha.
"Memandangkan program ini anjuran Sinar Bestari yang terdiri daripada pengamal media berpengalaman, perkongsian diberikan sangat bagus tambahan pula saya juga merupakan peserta Didik TV sebelum ini.”- Mohamad Farhan Ahmad Tarmizi, 16, SMK Darul Ehsan.
"Sekolah saya baru pertama kali mewujudkan TV PSS. Oleh itu, penyertaan kami ini juga merupakan kali pertama dan sudah pasti ia program yang membantu dari segi pendedahan tentang cara penggunaan aplikasi penghasilan video seperti CapCut.
"Saya boleh katakan, program ini sangat membantu saya bermula daripada rakaman dan suntingan yang tersusun.” - Muhammad Afzan Haiqal Masmuladi, 14, SMK Kepong.
"Saya boleh bahagikan tiga input penting yang saya dapat belajar dalam program hari ini iaitu cara memegang telefon atau kamera dengan betul, kemudian rakaman dan suntingan yang tepat. Nampak ringkas, tapi kesannya besar.
"Saya amat berterima kasih kepada Sinar Bestari kerana pendedahan hari ini memantapkan lagi kemahiran berkaitan videografi sebab sebelum ini saya memang akui penguasaan dengan cara lebih profesional itu tidak terlalu mendalam.” - Nurul Tasbeeha Mohamed Hanifah, 14, SMK Hillcrest.