Masalah disiplin dalam kalangan pelajar di sekolah sering menjadi perbualan hangat masyarakat pada hari ini.
Buli, ponteng kelas, bergaduh, merokok, melawan guru dan banyak lagi antara masalah disiplin yang sering berlaku di sekolah masing-masing.
Dalam kesemua masalah disiplin tersebut, tahukah adik-adik definisi lengkap setiap permasalahan itu?
Bagi membantu anda memahami dengan lebih mendalam, hari ini Sinar Bestari senaraikan sebahagian latar belakang masalah disiplin itu yang dikatakan sering berlaku kepada pelajar sekolah rendah dan menengah.
Berikut adalah infonya!
1) Buli
Kes buli membawa maksud masalah yang meliputi kegiatan seperti memeras ugut, menghina, mengejek, menumbuk, memaki dan sebagainya yang dilakukan seseorang kepada pemangsanya.
Buli bertujuan menunjukkan kekuatan masing-masing dengan mengasari orang yang lemah.
Selain itu, buli juga bermaksud tingkah laku agresif sama ada dalam bentuk fizikal atau psikologikal yang dilakukan secara berulang kali ke atas mangsa dan ia bertujuan mendatangkan perasaan tidak selesa, tidak aman, tidak tenteram dan tidak harmoni.
Secara keseluruhannya, membuli merupakan perbuatan yang tidak baik dan boleh membuatkan orang lain menjadi mangsa serta mendatangkan ketidakselesaan kepada individu sekeliling.
Ciri-ciri yang terdapat pada pembuli ialah bertubuh besar, tegap dan tinggi serta kebiasaannya melibatkan sekumpulan pelajar yang sebaya.
Manakala pelajar yang sering menjadi mangsa buli ialah yang bertubuh kecil, kerap dipuji guru dan pelajar baharu.
Membuli ini sebenarnya satu cara untuk menghilangkan rasa bosan di sekolah. Kejayaan membuli pelajar junior akan menunjukkan mereka kuat, berkuasa dan tidak mudah digertak.
2) Ponteng sekolah
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2005), ponteng diklasifikasikan sebagai suatu tingkah laku lari daripada tanggungjawab dan kebenaran yang telah ditetapkan.
Abdullah Sani Yahaya (2005) menjelaskan, gejala ponteng ini merujuk kepada tindakan seorang pelajar yang tidak mengikuti sesuatu pelajaran pada waktu sepatutnya di sekolah sebaliknya menghabiskan masa di pusat membeli belah atau lokasi tertentu.
Masalah ini sering berlaku kerana pelajar berasa bosan dengan pengajaran dan pembelajaran di sekolah.
Selain itu, mereka yang terlibat dengan masalah ponteng sekolah mempunyai hubungan yang tidak baik dengan guru dan rakan-rakan lain.
Seterusnya, sering disisihkan dan dipulaukan kawan-kawan yang kaya dan bijak serta mudah terpengaruh oleh jiran tetangga, rakan sebaya dan lain-lain yang berada di sekeliling mereka.
3) Vandalisme
Perkataan vandalisme berasal daripada nama sebuah puak di Eropah iaitu ‘vandal’ yang telah membinasakan kota Rome pada kurun ke-5.
Vandalisme sering kali dirujuk kepada perbuatan merosakkan harta benda awam seperti kerusi, telefon dan tandas awam.
Vandalisme juga merujuk kepada penambahan, penghapusan atau pengubahan dengan sengaja.
Pada lazimnya, masalah disipilin ini dianggap sebagai satu bentuk jenayah tetapi pada keadaan tertentu, vandalisme merupakan satu bentuk ritual yang dilakukan oleh sekumpulan remaja yang tidak berpuas hati terhadap keadaan masyarakat.
4) Melepak
Punca pelajar melepak kerana kurang mendapat perhatian daripada pihak sekolah dan berasa tersisih dalam keluarga.
Tekanan yang dihadapi pelajar semasa di sekolah akhirnya menyebabkan mereka mengambil jalan mudah untuk keluar daripada masalah itu dan terlibat dengan kegiatan-kegiatan kurang sihat.
Suasana yang bosan serta kurang efektif di sekolah menyebabkan remaja atau pelajar mudah terpengaruh dengan gejala ponteng sekali gus mengakibatkan mereka melepak di kawasan yang tidak sesuai.