Program mobiliti Putra Madani Outreach Innovation Technology Japan 2023 yang disertai mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini, semestinya memberi 1,001 kenangan manis kepada para peserta.
Ia kerana kunjungan mereka ke Kyushu Institute of Technology (Kyutech), Jepun menerusi program terbabit telah mendapat pujian dan kata-kata semangat daripada penuntut di sana.
Salah seorang mahasiswa Kyutech, Takeru Tanaka, 21, berkata, peserta dari UPM begitu mesra, tinggi nilai persahabatan dan bijak berkomunikasi.
Malah, mereka juga sentiasa ceria dan ramah jika dibandingkan dengan penuntut Jepun yang lebih pemalu.
Ueda Hisaki, 22, pula berpendapat, mahasiswa UPM seorang yang aktif berkomunikasi dan bersifat terbuka dengan penuntut dan masyarakat di Jepun.
"Mereka nampak pintar, sentiasa gembira dan bersifat mesra dalam tugasan berkumpulan yang diberikan.
"Saya harap hubungan kami ini tidak terhenti di sini sahaja sebaliknya terus bersahabat dan berkongsi pengalaman dalam apa jua perkara,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Program Putra Madani Outreach Innovation Technology Japan 2023, Muhammad Ikram Marozan berkata, pihaknya memilih Jepun untuk program mobiliti disebabkan etika dan mutu kerja serta disiplin tinggi yang dimiliki mahasiswa Jepun.
"Kami berterima kasih kepada rakan-rakan dari Kyutech yang begitu mengambil berat sepanjang lawatan ke sana.
"Mereka melayan semua peserta seperti satu keluarga dan insya-ALLAH jika diberi peluang lagi, kami akan ke Kyutech dengan menyediakan kepelbagaian aktiviti yang lagi menarik,” jelas beliau.
Dalam pada itu, mahasiswa UPM, Ahmad Shukry Yahya tidak ketinggalan memuji penganjuran program yang dilihat dapat mengembangkan ilmu dan kemahiran para peserta.
"Sejujurnya, ini satu program yang bagus sekali gus dapat membuka mata dan minda kami selaku penuntut di UPM.
"Selain dapat belajar cara mereka mempelopori dunia dalam bidang sains dan teknologi, kami juga dapat mengutip sedikit sebanyak cara masyarakat Jepun yang sentiasa menepati masa dalam semua perkara, tip menjaga kebersihan, bagaimana memupuk budaya membaca dan sebagainya,” jelas Ahmad Shukry.