Ketiadaan dokumen pengenalan diri dalam kalangan masyarakat Orang Asli dari Kampung Kuala Atok, Jerantut, Pahang telah mengakibatkan mereka sukar mendapat pelbagai bantuan terutamanya dalam bidang pendidikan.
Atas sebab itu, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Pahang ‘turun padang’ menganjurkan Program Transformasi Minda Insan Sub Aktiviti Program Kecemerlangan Akademik dan Sahsiah Diri Daerah Jerantut di Sekolah Kebangsaan (SK) Merting, Jerantut, Pahang baru-baru ini.
Menurut Timbalan Pengarah JAKOA Pahang, Ahmad Marzuki Salleh, program tersebut bertujuan membantu Orang Asli membuat dokumen pengenalan diri dan menjalankan pelbagai aktiviti menarik untuk mereka.
Tambah beliau, sebanyak 208 permohonan sijil beranak dan kad pengenalan Orang Asli setempat berjaya diproses oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pahang yang membuka kaunter menerima gantian kad pengenalan, pendaftaran lewat kelahiran, sijil kelahiran dan mengantikan MyKad baharu.
"Pada peringkat awal, kami menyasarkan sebanyak 80 permohonan daripada masyarakat Orang Asli.
"Bagaimanapun, jumlah itu melepasi sasaran kerana permohonan bukan sahaja daripada penduduk di Kampung Kuala Atok dan Kampung Sungai sahaja tetapi kami telah menerima permohonan daripada penduduk kampung yang berhampiran.
"Kesanggupan mereka hadir membuktikan kesedaran memiliki dokumen pengenalan diri telah meningkat dan mengakui kepentingan memiliki dokumen berkaitan membantu proses menyalurkan bantuan, memohon lesen motosikal, keluar bekerja dan sebagainya,” ujarnya.
Sebelum itu, Program Transformasi Minda Insan Sub Aktiviti Program Kecemerlangan Akademik dan Sahsiah Diri Daerah Jerantut yang berlangsung selama dua hari telah mendapat sokongan daripada pelbagai agensi di peringkat negeri dan juga daerah.
Antara yang terlibat adalah JPN; Majlis Keselamatan Negara; Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Jerantut; Pejabat Perpaduan; SK Merting dan Yayasan RYTHM (badan bukan kerajaan (NGO).
Sementara itu, Tok Batin dari Kampung Kuala Atok, Hussin Dayak berkata, pihaknya gembira kerana mendapat bantuan daripada pelbagai pihak berhubung permohonan dokumen pengenalan diri untuk Orang Asli sekali gus memudahkan mereka menerima bantuan sewajarnya.
"Sebagai Tok Batin, saya selalu mengingatkan penduduk kampung agar mendaftar anak-anak mereka untuk membuat MyKad di JPN.
"Tidak kurang juga saya turut menasihatkan warga emas dalam kalangan Orang Asli untuk menggantikan kad pengenalan lama kepada kad baharu.
"Tapi itulah, bukan mudah memujuk mereka. Alasan yang diberi adalah sukar ke bandar Jerantut terutama warga emas kerana perlu melalui sungai dan menaiki bot untuk ke lokasi membuat kad pengenalan,” ujarnya.
Sekulah Bateq
Dalam pada itu, Ketua Yayasan RYTHM, Santhi Periasamy berkata, pihaknya terpanggil untuk membantu dan memberi fokus kepada masyarakat di situ dengan membangunkan ‘Sekulah Bateq’ sebagai usaha memberi manfaat pendidikan asas kepada kanak-kanak Orang Asli etnik Bateq di Kampung Kuala Atok.
"Kami telah berganding bahu dengan JAKOA, PPD, SK Merting dan agensi berkaitan dengan mewujudkan kelas khas yang menempatkan lebih 40 murid Orang Asli.
"Kami juga berusaha membantu menambah pengetahuan asas membaca dan berkomunikasi kepada mereka di sekolah yang baru dibangunkan itu.
"Pada hujung minggu pula, beberapa guru dari SK Merting telah dibawa masuk ke Kampung Kuala Atok untuk memberi kelas tambahan kepada murid-murid Orang Asli di Sekulah Bateq tersebut,” katanya.
Cabaran dihadapi guru
Dalam perkembangan sama, seorang guru dari kelas khas Orang Asli iaitu Cikgu Julie Mazreen berkata, sepanjang mengajar, pelbagai cabaran dilalui antaranya perlu berhadapan masalah komunikasi dengan 69 murid Orang Asli.
Mengulas lanjut, Cikgu Julie berkata, murid-murid yang hadir ke sekolah akan belajar seperti biasa namun mereka tidak mempunyai sukatan pembelajaran yang khusus sepanjang persekolahan.
"Objektif utama guru-guru yang mengajar di sini (Sekulah Bateq) adalah memberi pendidikan asas kepada anak-anak Orang Asli.
"Antara pendidikan asas tersebut adalah mengenal huruf, mampu membaca, berkongsi teknik bertutur dengan betul, menjaga kebersihan, bersukan, adab dan akhlak,” jelasnya.
Seorang pelajar, Put Along, 16, tidak ketinggalan berkongsi pengalamannya yang telah memulakan sesi persekolahan sejak dua tahun lalu.
"Saya anak sulung daripada lima beradik dan berasal dari Kampung Kuala Atok etnik Bateq.
"Sejak bersekolah, saya sudah mahir bertutur dan membaca dalam Bahasa Melayu dan memasang impian untuk belajar ke peringkat yang lebih tinggi.
"Sejujurnya saya berasa sangat seronok kerana berpeluang ke sekolah sekali gus belajar dan dapat berjumpa dengan rakan-rakan,” katanya.