Produk terbaik UTM dan UPM raih RM130,000 pada MCY 2023

Iklan
Sebahagian pemenang dari UTM pada Sidang Kemuncak Tahun MCY 2023 di Connexion Bangsar South, Kuala Lumpur baru-baru ini

Dua penyelidik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) diumumkan sebagai Pemenang Utama dalam dua kategori berbeza pada Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY) 2023 di Connexion Bangsar South, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mereka ialah Timbalan Pengarah, Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (ICC), UTM, Profesor Madya Ir Ts Dr Mohd Khairi Abu Husain dan Timbalan Dekan, Malaysia-Japan Institute International of Technology (MJIIT), UTM, Profesor Madya Dr Siti Hamidah Mohd Setapar.

Iklan
Iklan

Mohd Khairi mengungguli kategori Anugerah Usahasama Penyelidikan dan Perniagaan yang membolehkannya membawa pulang wang tunai sebanyak RM130,000.

Pengiktirafan tersebut berdasarkan pengkomersialan produk dan perkhidmatan melalui syarikat ACTS Smart Solutions Sdn Bhd, sebuah syarikat hiliran di bawah UTM iaitu Structural Dynamic Monitoring for Ageing Offshore Platform.

Iklan

Manakala Siti Hamidah pula mengungguli kategori Anugerah Usahawan Penyelidik dan turut meraih wang tunai sebanyak RM130,000 melalui NK Age-Reverse iaitu produk ciptaan syarikat hiliran di bawah teraju beliau, SHE Empire Sdn Bhd.

Menurut Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Ir Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail, kejayaan berkenaan selaras dengan pelan tindakan dan inisiatif yang telah disusun bagi menjayakan misi dan visi Pelan Strategik EnVision UTM 2025 serta UTM Research and Innovation Blueprint 2025.

Iklan

"UTM sememangnya memfokuskan kepada pemantapan ekosistem inovasi bagi membolehkan penyelidik menterjemahkan penyelidikan fundamental kepada translasional agar dapat memberikan manfaat kepada komuniti dan industri.

"UTM sebagai Universiti Penyelidikan perlu dan wajar menjana penciptaan kekayaan melalui pengkomersialan teknologi dan amat perlu untuk kita wujudkan ekosistem yang kondusif,” katanya.

Sidang Kemuncak MCY 2023 yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu merupakan program yang memberi Anugerah MCY kepada 10 usahawan teknologi tempatan atas kejayaan mereka sepanjang tahun 2022.

Penganugerahan tersebut merupakan suatu pengiktirafan kepada para penyelidik dan usahawan Malaysia yang telah berjaya mengkomersialkan produk yang dihasilkan melalui penyelidikan dan inovasi di pasaran tempatan dan antarabangsa sepanjang tahun lalu.

Sementara itu, selain UTM, sebuah lagi universiti awam iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM) turut melakar kejayaan dalam MCY 2023 menerusi produk Harvast Photosynthesis Enhancer.

Produk yang dibangunkan sekumpulan penyelidik UPM diketuai Profesor Ts Ir Dr Suraya Abdul Rashid telah merangkul Anugerah Inovator Baharu dan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM130,000.

Suraya di samping produk Harvast Photosynthesis Enhancer yang merangkul Anugerah Inovator Baharu sekali gus membawa pulang hadiah bernilai RM130,000.

Menurut Suraya, Harvast Photosynthesis Enhancer merupakan produk untuk menghasilkan penggalak fotosintesis pada tumbuhan sekali gus memberi kesan positif terhadapnya dalam meningkatkan kadar pembesaran dan menyingkatkan (memendekkan) tempoh tuaian.

"Produk ini menggunakan teknologi nano Carbon Quantum Dots (CQD), apabila disembur pada bahagian daun ia akan membantu pokok menyerap tenaga cahaya dan menukarkannya kepada tenaga fotosintesis.

"Selain itu, ia juga merupakan produk yang pertama di pasaran dan telah dikomersialkan oleh syarikat pemula UPM iaitu Qarbotech Sdn Bhd di bawah program Innohub,” ujarnya yang kini berkhidmat di Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Alam Sekitar, Fakulti Kejuruteraan, UPM.

Suraya yang juga Timbalan Pengarah, Institut Nanosains dan Nanoteknologi (ION2), UPM berkata, Harvast Photosynthesis Enhancer telah dibangunkan pada 2015 dan menyasarkan jualan kepada golongan pekebun rumah, peminat tumbuhan, pemain industri pertanian dan hortikultur.