Demi anak murid, Cikgu Izzat sanggup beli Starlink biarpun cecah ribuan ringgit. Sebak!

Iklan
Cikgu Izzat berkorban wang ringgit dengan membeli Starlink demi kejayaan anak-anak muridnya dalam dunia pendidikan. Kredit foto: @AmOi Morni

Baru-baru ini, syarikat penyedia perkhidmatan internet, Starlink menyediakan perkhidmatan internet satelit di dua lokasi iaitu institut pengajian tinggi (IPT) dan juga sekolah.

Perkhidmatan satelit yang disediakan oleh SpaceX itu merupakan perkhidmatan dari syarikat milik Elon Musk iaitu seorang jutawan dan usahawan teknologi dari Amerika Syarikat.

Iklan
Iklan

Menurut Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, perkhidmatan Starlink di IPT dan sekolah dibuat berikutan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 15 Julai lalu.

Anwar berkata, kerajaan merancang perolehan 40 peranti satelit Starlink untuk kegunaan IPT dan sekolah seluruh negara dalam usaha meningkatkan capaian internet sekali gus mewujudkan akses lebih luas dan pantas untuk mahasiswa dan para pelajar.

Iklan

Susulan pengumuman tersebut, beberapa kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah menerima Starlink bagi mempertingkatkan kualiti perkhidmatan internet di kampus berkenaan dan antara yang telah menerimanya adalah UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Kuala Pilah.

Manakala UiTM Cawangan Sabah Kampus Tawau dan UiTM Cawangan Sarawak Kampus Samarahan pula akan menerimanya tidak lama lagi memandangkan kedua-dua kampus itu mempunyai hampir sifar liputan internet.

Iklan

Berhubung perkhidmatan Starlink di sekolah pula, baru-baru ini, tular sebuah video yang memaparkan seorang guru dikenali Cikgu Izzat memulakan inisiatifnya sendiri dengan membeli peranti ciptaan syarikat Elon Musk itu untuk digunakan di sekolah yang terletak di pedalaman Sarawak.

Perkongsian video oleh @AmOi Morni di TikTok memaparkan keterujaan mereka (warga sekolah) mendapat kit permulaan peranti berkenaan.

Usaha murni yang dilakukan guru muda ini adalah untuk memudahkan kerja-kerjanya sebagai seorang pendidik di kawasan pedalaman memandangkan capaian internet agak sukar di situ.

Sementara itu, pengorbanan dilakukan Cikgu Izzat yang sanggup melabur duit sendiri bagi membeli Starlink telah mendapat reaksi positif dalam kalangan netizen antaranya;

Ms.AR: Ramai selalu pertikaikan gaji cikgu, tapi cikgu sentiasa keluarkan duit untuk keselesaan anak bangsa.

Barber Far: Alhamdulillah tuan memang terbaik. Semoga ALLAH SWT membalas jasa tuan di dunia dan di akhirat nanti. Terima kasih cikgu.

Mr Arrogant: Mencurah-curah pahala cikgu.

Mr.BlackList: Semoga menjadi asbab mudah masuk syurga. Aaminn.

Shadinsha57: Mantap cikgu.

MHEkasah: Real Hero.

CEO of Kobis: Terbaik untuk tempat yang paling memerlukan. Semoga anak-anak pedalaman maju dalam pelajaran.

Kepada Cikgu Izzat, Sinar Bestari ingin merakamkan ucapan terima kasih kerana sanggup bersusah payah menyediakan perkhidmatan internet kepada warga sekolah.

Semoga ALLAH membalas jasa dan pengorbanan cikgu dengan ganjaran pahala yang besar, insya-ALLAH.