Silibus pendidikan sukar: Asatizah mula bersuara

Iklan
Antara paparan buku silibus yang ditunjukkan oleh Zaharuddin


Isu sukatan silibus pendidikan di negara ini yang dikatakan sukar masih belum reda dibicarakan dalam kalangan masyarakat ketika ini.

Bukan sahaja orang ramai dan guru, perkara tersebut turut mendapat perhatian daripada agamawan.

Terbaharu, seorang pendakwah bebas, Dr Zaharuddin Abd Rahman mengkritik satu topik pembelajaran bertajuk Faedah Kompaun yang dikatakan dipelajari oleh pelajar Tahun Lima dan Enam di sekolah rendah.

Ujar beliau, silibus berkenaan terlalu berat dan belum sesuai untuk diajar kepada mereka yang berada di bangku sekolah rendah.

"Tiada gunanya menekan kanak-kanak semuda itu dengan silibus yang masih jauh untuk mereka.

"Malah pengurus bank pun ramai yang tidak tahu mengira compounding interest secara manual kerana semuanya dibuat secara automatik,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Zaharuddin mengulas, pendidikan bukan sekadar mengejar dan mengajar dengan memaksa sumbatan silibus aras tinggi dari awal tetapi perlu mengambil kira faktor lain seperti keadaan keperluan semasa.

"Kita tidak mahu kononnya ingin cepat mengejar ilmu tahap tinggi lalu dipersiapkan di sekolah rendah sehingga memaksa minda yang belum cukup matang untuk hadam dan faham serta menjiwainya, akhirnya terlepas semuanya dan majoriti anak-anak jadi fobia dengan subjek Matematik.

"Mungkin 20 ke 30 peratus kanak-kanak yang advance mampu namun majoriti tercicir dan trauma, fikirkan,” tambah beliau.

Justeru, diharapkan isu ini mendapat perhatian daripada pihak berwajib demi kebaikan masa hadapan para pelajar.