Nekad transformasi musala sekolah, usaha Ustaz Mohamad Fitri dapat dana hampir RM500,000 mengejutkan ramai!

Iklan
Ruang 'korporat' MAE SK Danau Kota 2 hasil cetusan idea Ustaz Mohamad Fitri.

Konsep Karamah Insaniah yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan (KPM) ternyata memberi kesan mendalam kepada seorang guru yang kini berkhidmat di Sekolah Kebangsaan (SK) Danau Kota 2, Kuala Lumpur.

Dikenali sebagai Ustaz Mohamad Fitri Mohd Zahir, beliau berkata, Karamah Insaniah itu sangat penting bagi warga sekolah dalam pembentukan adab, akhlak dan integriti.

Iklan
Iklan

"Karamah Insaniah ini merupakan salah satu teras utama KPM di dalam menerajui sistem pendidikan negara.

"Ia menekankan pembentukan adab, akhlak dan integriti bagi mewujudkan suasana harmoni yang akan menghindari gejala negatif.

Iklan

"Menerusi konsep ini juga, ia bukan sahaja diterapkan dalam Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di bilik darjah tetapi turut diterapkan dalam pembelajaran di luar bilik darjah,” ujarnya kepada Sinar Bestari.

Berpegang teguh dengan konsep Karamah Insaniah itu, Ustaz Mohamad Fitri melahirkan hasrat mahu melakukan transformasi musala sekolah agar menjadi lebih kondusif bersesuaian dengan jawatan sebagai Penyelaras Musala yang telah digalasnya dari tahun 2017 hingga kini.

"Bermula Mac 2018, saya mula mencari dana pengubahsuaian musala sekolah menerusi Program Waqaf Pembangunan Musolla SK Danau Kota 2 dan Program Infak Pengimarahan.

Ustaz Mohamad Fitri

Iklan

"Saya siapkan pelbagai jenis kertas kerja semata-mata mahu musala sekolah berwajah baharu. Dengan dana RM0, saya akhirnya berjaya menerima sumbangan daripada berbagai pihak seperti tokoh korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan komuniti setempat.

"Bila dihitung kesemua sumbangan tersebut, ternyata ia mengejutkan kerana berjumlah hampir RM500,000, syukur alhamdulillah,” ujar anak kelahiran Sungai Petani, Kedah, ini lagi.

Dengan sumbangan yang cukup besar itu, graduan Ijazah Sarjana Muda dari Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Darulaman, Jitra, Kedah, mula mentransformasikan musala sekolah yang dipanggil Musala Al Ehsan (MAE).

Sebagai langkah pertama, Ustaz Mohamad Fitri mengambil inisiatif menggunakan perkhidmatan pereka dalaman untuk MAE bagi menjadikannya sebagai sebuah musala moden dan minimalis selari dengan kehendak semasa serta berimej korporat.

Pengimarahan musala

Setelah berjaya mentransformasikan MAE, kini Ustaz Mohamad Fitri mula mencari jalan untuk mengimarahkan musala sekolah pula.

Dengan usaha berterusan, beliau berjaya melibatkan 40 agensi melalui program jaringan dan jalinan ke arah pengimarahan musala.

Antara agensi yang terlibat dalam program itu adalah Briged Infantri Malaysia, Inteam Marketing, McDonalds, Jabatan Agama Islam Wilayah (JAWI) dan SK Patau-Patau Labuan.

Solat berjemaah adalah aktviti pengimarahan yang paling utama di musala sekolah ini.

Sementara itu, kelainan yang dibawa Ustaz Mohamad Fitri dalam setiap program pengimarahannya telah dihidu Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) sehingga MAE dipilih menyertai Pertandingan Penarafan Surau Imarah (PERSISS) KPM - Bank Islam yang diadakan di Dewan Perdana Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu baru-baru ini.

"Pertandingan PERSISS telah menobatkan MAE sebagai Johan Kuala Lumpur dan Naib Johan Peringkat Kebangsaan Tahun 2022.

"Kejayaan ini telah menggembirakan seluruh warga sekolah dan pelbagai ucapan tahniah telah diterima susulan berita baik berkenaan,” ujarnya yang baharu menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2022 atas usaha yang dilakukan kepada MAE dan kecemerlangannya sebagai pendidik.

Warga sekolah meraikan kemenangan bersama-sama apabila MAE diumum Naib Johan Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 dalam PERSISS sekali gus membawa pulang replika cek RM9,000 dan hadiah sampingan lain.