Walaupun terpaksa membahagikan masa antara belajar dan juga kokurikulum ia sedikitpun tidak melunturkan semangar dan usaha gigih para pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Victoria (VI) Kuala Lumpur dalam meneruskan tradisi kegemilangan 114 tahun pasukan pancaragam sekolah itu.
Mana tidaknya, pasukan pancaragam Kor Kadet Victoria Institution (VICCB) semakin gah bukan sahaja di peringkat sekolah tetapi juga berjaya menonjolkan kebolehan di luar negara.
Pasukan yang ditubuhkan sebelum negara mencapai kemerdekaan itu berjaya membuktikan kebolehan ahlinya dalam merangkul puluhan anugerah selain turut terpilih untuk membuat beberapa persembahan di luar negara yang menjulang nama baik sekolah dan Malaysia.
Terpanggil untuk berkongsi kisah manis dan membanggakan VICCB ini sejak seabad lalu penubuhannya, Sinar Bestari sempat melawat dan menyaksikan latihan pasukan berkenaan di Sekolah Menengah Kebangsan (SMK) Victoria atau lebih dikenali sebagai Victoria Institution (VI), Kuala Lumpur.
Melihat kesungguhan ahli- ahli yang terdiri daripada pelajar Tingkatan Satu hingga Lima itu telah membuka mata Sinar Bestari pasukan tersebut sememangnya layak melakar kejayaan di persada dunia.
Mana tidaknya, semangat dan ketekunan pelajar-pelajar ini jelas terpancar di wajah setiap seorang walaupun ketika menjalani latihan.
Buat sehabis baik
Menurut Pengarah Pasukan dan Drill Designer VICCB, Nazmi Naim Abd Ghani, prinsip yang dipegang iaitu buat sehabis baik menjadi tonggak pegangan sejak dahulu lagi menjadikan VICCB sentiasa berusaha dan tekun dalam melakukan yang terbaik.
Prinsip tersebut menjadikan ahli VICCB ini tidak mudah menyerah di samping bersemangat semasa membuat persembahan.
"Ahli VICCB ini sememangnya mendapat sokongan penuh daripada ibu bapa yang juga bersemangat dalam menyokong pencapaian kokurikulum anak masing-masing.
"Dengan prinsip yang dipegang iaitu melakukan yang terbaik, ia adalah salah satu cara untuk menghargai pengorbanan ibu bapa yang sanggup berkorban demi pencapaian anak-anak.
"Ini antara penyumbang semangat ahli VICCB untuk lebih yakin dan bersungguh dalam latihan serta apa jua persembahan yang dilakukan,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.
Berkongsi sejarah awal penubuhan VI, VICCB berjaya mencatatkan beberapa pencapaian membanggakan antaranya terpilih untuk membuat persembahan di luar negara selain turut mencipta kemenangan buat negara.
Namun sejak Covid-19 melanda negara, beberapa pertandingan dan latihan terpaksa diberhentikan atas faktor kesihatan dan keselamatan.
Disebabkan itu, kata Nazmi Naim yang juga merupakan alumni sekolah dan pasukan VICCB, kini boleh diibaratkan mereka bermula semula untuk melakar lebih banyak kejayaan.
"Tujuan dan matlamat baru selepas pandemik Covid-19 adalah untuk membantu VICCB kembali seperti tahun-tahun sebelumnya.
"Ini termasuklah memberi pendedahan dan pengetahuan kepada pelajar dari sudut muzik, susun atur persembahan dan juga pergerakan,” tambahnya lagi.
Beritahu Nazmi Naim, dalam usaha mencapai sasaran tersebut, pasukan VICCB kini dilatih oleh tujuh orang jurulatih termasuk dirinya.
Jurulatih tersebut terdiri daripada, Koordinator dan Jurulatih Bagpipe/Colorguards, Mohd Hezrul Hizham; Penolong Jurulatih Bagpipe/Colorguards, Muhammad Hairul Zamzuri; Jurulatih Pasukan Brass, Muhammad Fikrizaki Zakaria; Penolong Jurulatih Pasukan Brass, Emeer Ellyas Pfordten Eddee Pfordten; Jurulatih Pasukan Drum, Zakaria Patrum dan Penolong Jurulatih Pasukan Drum, Muhammad Faris Akmal Musa.
Akademik, kokurikulum bergerak seiring
Walaupun semangat dalam latihan VICCB ini tidak pernah luntur, namun akademik pelajar-pelajar yang terlibat juga tidak pernah dilupakan.
Jelas jurutera di syarikat Multinasional itu, jadual latihan dibuat setelah berbincang dengan guru dan sekolah.
Ini adalah untuk memastikan ia tidak bertindih dengan akademik pelajar yang juga sama penting dengan penglibatan mereka dalam aktiviti kokurikulum.
"Tempoh latihan untuk sesuatu pertandingan atau persembahan diambil sekurangnya tujuh hingga lapan bulan atau minimum enam bulan.
"Dalam tempoh seminggu perlu ada latihan sekurang-kurangnya tiga kali namun ia juga hendaklah tidak menganggu aktiviti pembelajaran pelajar.
"Contohnya, Isnin sampai Khamis kita akan kurangkan praktis tetapi Jumaat dan Sabtu latihan sehingga petang,” jelasnya.
Mengakhiri perbualan, Nazmi Naim sempat menitip doa buat semua untuk mendoakan kejayaan VICCB dalam Malaysia International Marching Arts Championships pada awal September ini.
Diharap kejayaan milik mereka setelah berhempas pulas dalam praktis dan semoga terus bersungguh dalam melakar kejayaan di peringkat dunia.
Kejayaan VICCB 2000-2022
2000 hingga 2008
- Juara Federal Territory Secondary School Marching Brass Band Competition (lapan kali berturut-turut)
2009
- Juara dunia World Bands Challenge, Modena, Itali
- Pingat emas (Hons) di Kuala Lumpur World Marching Band Competition (KLWMBC)
2012
Hong Kong International Youth Marching Band Competition
- Pingat emas dan juara senior
- Kumpulan pancaragam kegemaran
- Pingat ems Solo Drum Battle Category dan tempat ketiga dalam kategori Pasukan Drum Battle
- Anugerah Best Colour Guard, Anugerah Koreografi Terbaik, Anugerah Pekusi Terbaik
2014
Kuala Lumpur International Youth Marching Band Competition
- Juara kategori dalam Marching Ensemble dan pertandingan kawad
- Pingat emas kategori Colour Guard
- Juara Street Parade
2015
1. World Association of Marching Show Bands di Copenhagen, Denmark
- Juara dunia kategori Drum Battle
- Pingat emas kategori Marching Show Band
- Pingat emas kategori Street Parade
- Sijil penyertaan open stage talent show, Bagpipes dan Drum for highly discipline serta persembahan terbaik
2. Pingat emas pertandingan Kuala Lumpur International Youth Marching Band
2016
- World Championships for Marching Show Band
- Pingat emas keseluruhan
- Naib juara kategori national
- Tempat keempat kategori international
2017
- Pertandingan sekitar Kuala Lumpur
- Juara Anugerah Kecemerlangan Pasukan Badan Beruniform Sekolah Menengah Peringkat Negeri dan Kebangsaan
- Juara pertandigan Kuala Lumpur International Youth Marching Band
- Juara kategori Scholastic Division Wind ensemble
- Naib juara Stomp Comp
- Naib juara pertandingan Malaysia Drumline Competition
2018
1. World Association in Marching Show Bands di Taipei, Taiwan
- Naib juara
- Anugerah Colourguard Terbaik
2. Pertandingan Kuala Lumpur International Youth Marching Band
- Juara (dua kali berturut-turut)
- Anugerah Brass Terbaik
2019
1. Pertandingan Malaysia World Band di Kedah
- Juara
- Anugerah Colourguard Terbaik
2. Pertandingan Kuala Lumpur International Youth Marching Band di Kuala Lumpur
- Juara (tiga kali berturut-turut)
- Anugerah Brass Terbaik
2022
Pingat emas Malaysia World Band Competition (NATCOMP)