Format asal 1988 bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) harus dikembalikan semula bagi memudahkan penilaian melibatkan kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) dibuat untuk murid-murid di sekolah rendah.
Memetik portal tempatan, Setiausaha Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan, Majlis Profesor Negara, Dr Anuar Ahmad berkata, cadangan tersebut dikemukakan tidak perlu memfokuskan peperiksaan semata-mata sebaliknya mengukuhkan aspek 3M.
"Kita harus memahami bahawa UPSR yang telah diwujudkan pada 1988 merupakan pendekatan disebut sebagai ujian pencapaian sekolah rendah.
"Ia bukan peperiksaan namun merupakan ujian bagi pencapaian yang bertujuan untuk mengetahui tahap keupayaan murid-murid kita dalam menguasai 3M selain juga matlamat asal UPSR diwujudkan pada tahun 1988," katanya.
Tambah beliau, format peperiksaan UPSR yang telah diubah menjadikan sekolah-sekolah dilihat seperti bersaing sesama mereka melalui pencapaian keputusan pelajar yang menduduki peperiksaan tersebut.
Oleh itu jelasnya, perkara ini menunjukkan matlamat utama ketika UPSR mula diperkenalkan pada 1988 tidak diambil peduli oleh pihak sekolah.
Keputusan pemansuhan UPSR pada 2021 adalah disebabkan guru terlebih memberi tumpuan kepada subjek UPSR dan murid berdepan dengan tekanan untuk membuat persediaan peperiksaan itu.
Sebelum ini, pada April 2021, Menteri Pendidikan ketika itu, Datuk Dr. Mohd. Radzi Jidinberkata, walaupun UPSR dimansuhkan tidak ada peperiksaan ganti bagi ujian murid Tahun Enam tersebut
Pada Jun yang lalu juga, Kementerian Pendidikan (KPM) juga mengulangi UPSR dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang dimansuhkan tidak akan dikembalikan dalam masa terdekat.