Di era digital dan perkembangan teknologi yang pesat hari ini menyaksikan kemunculan pelbagai pendedahan baharu dunia pendidikan dan salah satunya adalah pengekodan (coding).
Coding merupakan proses menulis kod (code) menerusi komputer sama ada ingin menghasilkan aplikasi baharu atau mencipta robot yang kian mendapat sambutan hangat di serata dunia.
Pembelajaran coding ini diperkenalkan Kementerian Pendidikan (KPM) sebagai usaha mempersiapkan murid menyelesaikan masalah menggunakan kod arahan dalam bahasa pengaturcaraan.
Usaha ini disokong baik guru-guru dan salah satunya guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Nusa Damai Pasir Gudang, Johor Bahru, Cikgu Muhammad Sabiq Mohd Noor.
Beliau memberitahu, pendedahan tentang coding ini sedikit sebanyak membuka peluang murid-murid mengasah bakat dan kemahiran diri.
Katanya, pembelajaran melibatkan coding dan penghasilan robot ini akan membawa dunia pendidikan negara ke satu dimensi baharu memandangkan teknologi kini dilihat berkembang pesat.
"Jika kita lihat negara-negara maju yang lain mereka telah mendalami ilmu coding dan robotik ini awal daripada kita malah kebanyakannya berjaya menghasilkan produk robotik yang dilihat gah seluruh dunia.
"Justeru, sebagai warga pendidik saya amat menyokong pembelajaran coding ini didedahkan kepada murid seawal sekolah rendah,” ujarnya ketika dihubungi baru-baru ini.
Ketika ditanya mengenai kepentingan mengajar murid-murid tentang ilmu coding, Cikgu Muhammad Sabiq yang juga merupakan guru Bahasa Melayu serta Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) memberitahu, ia adalah satu pembelajaran alaf baharu yang menyeronokkan.
Mana tidaknya, bagi peringkat sekolah rendah topik yang diajar dalam coding ini adalah lebih menarik dan interaktif yang menjadikan murid-murid lebih teruja untuk mempelajarinya.
"Coding bagi peringkat sekolah rendah menerusi subjek RBT ini boleh dilihat dalam bentuk blok yang berwarna dan lebih mesra bagi mereka.
"Dengan ini, murid-murid tidak merasa susah belajar coding dan lebih faham bagaimana hendak mendalami ilmu coding itu sendiri dan secara tidak langsung mereka juga dapat menghasilkan projek pengaturcaraan antaranya aplikasi permainan (game),” tambahnya lagi.
Menariknya tentang coding ini, Cikgu Muhammad Sabiq menambah, ia dilihat sebagai satu peluang baharu buat anak-anak muda khususnya murid sekolah mencungkil bakat dengan menghasilkan sesuatu yang mampu membuka mata seluruh rakyat negara.