FOTO: MOHD HALIM ABDUL WAHID & MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
Kempen Pengguna Bijak Lotus's Malaysia menekankan kepada tiga elemen utama iaitu mengelakkan pembaziran wang, tingkat wang simpanan, kurangkan pembaziran makanan dan pencemaran alam sekitar.
Ketua Penglibatan Komuniti Lotus, Muhammad Ikhwan Zulkaflee berkata, pengguna yang bijak dapat membezakan antara kehendak dan keperluan ketika membeli-belah.
Menurutnya, ketiadaan perancangan dalam menyusun atur kewangan menyebabkan pengguna berdepan dengan pembaziran.
"Sebelum berbelanja, kena ada senarai barangan yang perlu untuk dibeli dan pastikan ia bukan kehendak.
"Sebagai contoh makanan asas setiap bulan seperti beras, gula, tepung, daging adalah keperluan berbanding perkara lain jadi dahulukan yang penting bagi mengelak kita terbeli barangan yang tidak perlu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Kesedaran Pengguna Bijak pada Karnival Pendidikan Sinar Bestari di Kumpulan Karangkraf pada Sabtu.
Pada program itu seramai kira-kira 100 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) (P) Assunta, Petaling Jaya dan Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Rinching, Semenyih hadir bagi menjayakan program yang berlangsung di Studio MQT di sini.
Jelasnya, dari sudut alam sekitar, pembuangan yang kemudiannya diikuti dengan pereputan sisa makanan menyumbang kepada penghasilan kesan gas rumah hijau yang menyumbang kepada pemanasan global.
"Ini bermakna, pembaziran makanan bakal meningkatkan kos kerajaan menguruskan sisa pepejal, di samping menjejaskan kualiti alam sekitar,” ujarnya.
Muhammad Ikhwan berkata, bagi meningkatkan kadar kitar semula, penyertaan setiap anggota masyarakat amat diperlukan, khususnya di peringkat domestik, dengan menjadikan amalan pengasingan sampah di rumah sebagai rutin harian.
"Usaha ini bukan sahaja dapat memastikan amalan menguruskan sisa pepejal secara sistematik sejak dibangku sekolah, tetapi dapat menjana pendapatan sampingan menerusi pengumpulan bahan kitar semula dan dijual ke pusat-pusat kitar semula,” katanya.
Dalam pada itu, Lotus’s Malaysia turut memperkenalkan pendaftaran secara percuma keahlian My Lotus's melalui aplikasi.
"Pelanggan dapat berjimat dengan lebih banyak lagi apabila mereka menggunakan mata ganjaran Lotus’s ketika membuat pembayaran yang sekaligus dapat mengelak pembaziran,” katanya.