Karnival Pendidikan Sinar Bestari peringkat kebangsaan mungkin diadakan tahun depan dan diperluaskan ke negeri lain berikutan menerima sambutan luar biasa daripada pengunjung.
Pengarah Projeknya, Meen Tahrin berkata, pihaknya tidak menyangka karnival anjuran Sinar Bestari yang julung kali diadakan diterima baik apabila seramai 100,000 pengunjung hadir ke karnival bertemakan pendidikan.
"Alhamdulillah, secara keseluruhan saya sangat terharu di atas sambutan diberikan oleh pengunjung terhadap penganjuran karnival ini.
"Ini bermakna masyarakat amat mementingkan pendidikan untuk anak-anak mereka yang bakal menjadi generasi pemimpin negara akan datang.
Tambah Meen yang juga Editor Eksekutif Lifestyle Sinar Harian, syarikat ini juga bersedia bekerjasama dengan pihak swasta untuk menjadikan karnival pendidikan itu dipenuhi dengan pelbagai pengisian program ilmiah yang lebih jitu dan bermanfaat.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak terutamanya Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang sudi merasmikan karnival berkenaan.
"Saya mewakili pihak penganjur mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Pendidikan Negeri Selangor khasnya kepada Sektor Sumber Teknologi Pendidikan (SSTP), Sektor Pembangunan Murid (SPM), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), para pentadbir, guru, pempamer yang terlibat dan seluruh komuniti.
"Sesungguhnya ilmu yang dicurahkan kepada anak-anak kita itu pastinya akan diingati sampai bila-bila,” jelasnya.
Bagi Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli, beliau pada mulanya khuatir sekiranya karnival itu tidak mendapat sambutan pengunjung memandangkan ia pertama kali diadakan dan lebih menekankan tema pendidikan.
Zamri berkata, bagaimanapun sangkaan tersebut meleset apabila mendapat sambutan sangat luar biasa daripada orang ramai.
"Kita tidak membawa artis-artis popular di atas pentas karnival sebaliknya para pelajar menjadi ‘bintang’. Dengan peluang diberikan itu, mereka dapat menunjukkan bakat dalam pelbagai acara.
"Antaranya bicara berirama, kawad kaki, dikir barat, Sinar Bestari Got Talent, tarian tradisional, robotik, bercerita, bola keranjang dan banyak lagi.
"Pada awalnya kita cuma menjangka kehadiran pengunjung sekitar 30,000 orang sahaja, tetapi siapa sangka sepanjang tiga hari ia melebihi 100,000,” ujarnya.
Menurut beliau, pengunjung yang datang bukan hanya sekitar Selangor malah daripada pelbagai negeri antaranya, Negeri Sembilan, Johor dan Terengganu.
Katanya lagi, karnival tersebut turut mendapat maklum balas positif daripada pempamer, pasukan beruniform dan peniaga yang terlibat dalam jualan MakanFest Sinar Plus.
"Ramai peniaga mengaku tidak menang tangan malah makanan dijual terpaksa ditambah kerana habis sejak tengah hari lagi.
"Jadi, mereka berminat untuk menempah awal reruai sekiranya karnival ini diadakan tahun depan.
"Insya-ALLAH jika dapat sokongan ramai termasuk penaja, kerajaan negeri dan pempamer, kita akan membawakan Karnival Pendidikan Sinar Bestari tahun depan dan juga di lokasi lain,” katanya.