Tema Hari Kebangsaan 2023 iaitu ‘Tekad Perpaduan Penuhi Harapan’ mesti dihayati oleh setiap lapisan rakyat Malaysia.
Tema ini diterjemahkan kepada semangat perpaduan dan patriotisme tinggi serta membenihkan rasa cinta yang mendalam kepada negara.
Kempen kibaran Jalur Gemilang bermula 16 Julai lalu seharusnya kita berlapang dada menyokongnya.
Kibaran bendera adalah tanda kasih sayang rakyat Malaysia.
Setiap warganegara perlu terjemahkan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia dengan menyambutnya penuh kemeriahan.
Sekolah adalah agen sosialisasi penting dalam mendokong nilai dan semangat patriotisme ini.
Program berteraskan jati diri dan patriotisme perlu dimantapkan lagi kepada generasi muda negara.
Sistem pendidikan negara dilihat elemen penting dalam menerapkan semangat.
Selaras dengan intipati kemerdekaan, program-program yang dilaksanakan dalam sistem pendidikan dapat memberi manfaat dan impak yang mendalam di hati dan jiwa para pelajar bukan sahaja peringkat institut pengajian tinggi IPT), malah sekolah serta yang paling asas iaitu taska dan tadika.
Hari Kebangsaan yang ke-66 disambut dengan penuh meriah di seluruh negara perlu dilatakan kepada semua.
Tema tahun ini iaitu ‘Tekad Perpaduan Penuhi Harapan’ adalah bertepatan dengan sentimental value yang ada pada negara kita yang mana kita hidup dalam masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya di negara yang disayangi ini.
Setiap warganegara mesti menghayati roh kesepaduan sosial, kesefahaman dan membina jati diri sebagai satu bangsa Malaysia yang merdeka jiwa dan merdeka mindanya.
Sepatutnya kita perlu bersyukur kerana kita dapat merasai nikmat kemerdekaan tanah air yang tercinta buat kali ke-66.
Kata orang dulu-dulu, kerana susah kita pandai menghargai nikmat senang, kerana dijajah kita mampu mensyukuri nikmat merdeka.
Walaupun saat-saat mengejar detik kemerdekaan telah berlaku 66 tahun yang lalu, semangat cintakan negara tidak harus pudar malah perlu kekal terpacak menjadi jati diri setiap anak Malaysia.
Usaha-usaha memupuk semula patriotisme dan hubungan perpaduan nasional ini perlu digalas oleh semua pihak tidak mengira bangsa dan agama.
Menyahut cabaran inilah Kementerian Pendidikan (KPM) perlu mengambil langkah memperkenalkan program setiap pelajar satu bendera dalam menyemai dan memperkukuhkan semangat patriotisme dan jati diri para pelajar.
Inisiatif ini sememangnya tepat dan wajar sesuai dengan Malaysia Madani hari ini yang juga sesuai dengan pelajar-pelajar sebagai pelapis generasi masa hadapan.
Ancaman terhadap keharmonian dan keutuhan bangsa sentiasa wujud di sekeliling masyarakat dan kesan boleh menghakis semangat cinta tanah air.
Semangat patriotik perlu dipupuk sepanjang masa supaya pelajar-pelajar tidak kehilangan hala tuju malah memperkukuh perasaan cinta kepada negara tercinta.
Negara perlu melihat peranan sekolah dalam meningkatkan semangat patriotisme melalui sistem pendidikan bermula di sekolah dan tadika.
Peranan sekolah dan tadika adalah agen sosialisasi sosial penting dalam menerapkan semangat patriotisme kepada pelajar-pelajar.
Pada bulan Ogos dan September, perlu dilaksanakan program-program bertemakan Hari Kebangsaan dan aktiviti bersifat patriotik yang menjadi platform serta aspirasi bagi mengukuhkan hubungan perpaduan dan semangat patriotisme dalam kalangan pelajar.
Aktiviti-aktiviti sebegini bertujuan mengeratkan hubungan anak-anak didik pelbagai kaum menerusi program-program yang menjurus penghayatan semangat kemerdekaan.
Di samping itu program-program sebegini dapat meningkatkan dan memperkasakan semangat patriotisme, jati diri dan perpaduan nasional dalam kalangan pelajar.
Juga memberi kesedaran dengan mengingatkan mereka bahawa kemerdekaan diperolehi melalui perpaduan dan hendaklah terus dikekalkan supaya maruah rakyat dan negara di mata dunia akan terus terpelihara.
Aktiviti-aktiviti pembelajaran bertemakan kemerdekaan bukan sahaja boleh dilaksanakan di tadika, malah boleh dipraktiskan juga di sekolah rendah.
Aktiviti bertemakan kemerdekaan ini menjadi asas dalam setiap subjek pembelajaran dalam kelas.
Bagi peringkat yang lebih tinggi, boleh disertakan dengan pembelajaran berasaskan projek.
Malah pembelajaran projek akan lebih menarik jika dilakukan dalam komuniti setempat yang melibatkan kanak-kanak dan orang dewasa.
Selain itu, tadika boleh menganjurkan pertandingan mewarna Jalur Gemilang, mengibar Jalur Gemilang di kawasan tadika dan pertandingan Pakaian Beragam bertemakan Jalur Gemilang atau fesyen anak merdeka sempena sambutan kemerdekaan dengan penglibatan peserta dalam kalangan kanak-kanak.
Program tersebut memupuk semangat cintakan negara kalangan kanak-kanak yang menjadi tulang belakang kepimpinan negara pada masa akan datang.
Selain itu memberi pendedahan kepada kanak-kanak tentang pentingnya nilai-nilai sejarah kemerdekaan negara dan menjalinkan hubungan kekeluargaan bersama ibu bapa kanak-kanak terbabit sambil menyemarakkan kempen kibar Jalur Gemilang.
Aktiviti ini memfokuskan penerapan dan penghayatan nilai patriotik, yakin dan berani dalam jiwa generasi muda seawal usia untukmengenali erti kemerdekaan yang sebenar.
Sempena sambutan Hari Kebangsaan kali ini, marilah sama-sama kita melihat kembali peranan sistem pendidikan nasional dalam membentuk semangat patriotisme dan membina kebersamaan dalam kalangan pelajar yang berlatar belakang yang berbeza.
Maklumat Penulis
Pengarah Pusat Pedagogi, Penyelidikan dan Inovasi (CPRI), Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Profesor Dr Nordin Mamat