Sambutan luar jangkaan!

Iklan
Fadhlina bersalaman dengan murid-murid ketika hadir pada majlis perasmian Karnival Pendidikan Sinar Bestari.

Karnival Pendidikan Sinar Bestari diteruskan tahun depan dengan penganjuran peringkat kebangsaan

Luar jangkaan dan sangat luar biasa!

Itulah gambaran yang sesuai diberikan terhadap penganjuran Karnival Pendidikan Sinar Bestari yang telahpun melabuhkan tirainya di Dataran Karangkraf, Shah Alam, Selangor pada Ahad lalu.

Iklan
Iklan

Karnival Pendidikan Sinar Bestari yang dianjurkan Sinar Harian dan Sinar Bestari dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor berlangsung selama tiga hari, bermula 8 September sehingga 10 September 2023 telah menerima sambutan sangat hebat daripada pengunjung yang bukan datang dari Selangor sahaja, malah ada yang hadir daripada pelbagai negeri antaranya Johor, Negeri Sembilan dan Terengganu.

Lebih 100,000 orang membanjiri karnival yang bertemakan Memacu Pendidikan Generasi Digital.

Rombongan sekolah mula membanjiri karnival seawal pagi.


Iklan

Jumlah tersebut benar-benar mengejutkan kerana ia adalah karnival yang pertama kali diadakan dengan memfokuskan kepada tema pendidikan.

Pengarah Projek, Meen Tahrin melahirkan rasa terharu dan gembira atas kejayaan dan sambutan luar biasa serta di luar jangkaan dalam Karnival Pendidikan Sinar Bestari itu.

Iklan

"Alhamdulillah, secara keseluruhan saya sangat terharu di atas sambutan terhadap karnival pendidikan yang julung kali dilaksanakan ini.

"Sesungguhnya kehadiran melebihi 100,000 pengunjung yang ada antaranya membawa anak kecil amat kami hargai.

"Sokongan orang ramai ke karnival ini jelas menunjukkan bahawa masyarakat amat mementingkan pendidikan untuk anak-anak mereka yang bakal menjadi generasi pemimpin negara akan datang,” katanya.

Fadhlina mewarnakan lukisan doodle integriti terbesar di Malaysia pada karnival yang berlangsung di Dataran Karangkraf.


Menerusi penganjuran karnival itu, Meen yang juga Editor Eksekutif Lifestyle Sinar Harian berkata, pihaknya menerima pelbagai reaksi positif daripada para pengunjung yang terdiri daripada guru, pelajar, ibu bapa dan komuniti.

"Kesemuanya meminta agar karnival sebegini diperluaskan ke negeri-negeri lain.

"Insya-ALLAH, jika tiada aral melintang, Karnival Pendidikan Sinar Bestari peringkat kebangsaan mungkin akan diadakan tahun depan,” ujarnya lagi.

Sebahagian pelajar yang mengikuti pelbagai aktiviti menarik di reruai Sinar Harian.

Terdahulu, Karnival Pendidikan Sinar Bestari yang dirasmikan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek pada Jumaat menyajikan pelbagai pertandingan dan aktiviti menarik kepada para pengunjung.

Antara pertandingan yang diadakan ialah kawad kaki, tarian, bola keranjang, koir, dikir barat, Sinar Bestari Got Talent, E-Games, pidato, cerpen, teka silang kata, bicara berirama, bercerita Sirah Nabi, robotik, penglipur lara, Kids Quran Hour, Doodle Something Nice dan Explorefun.

Pasukan Kadet Remaja Sekolah, SMK Abdul Jalil, Hulu Langat, Selangor meraikan kemenangan selepas diumum juara bagi pertandingan kawad kaki.

Manakala aktiviti lain yang ditampilkan kepada orang ramai ialah pameran daripada agensi keselamatan negara seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM); Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM); Angkatan Tentera Malaysia (ATM), termasuk Pameran Digital Skil dan Kerjaya serta barisan pempamer seperti Bank Rakyat, KDEB Waste Management (KDEBWM), Kementerian Pendidikan (KPM), Israk Solutions Sdn Bhd, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Yayasan Selangor dan banyak lagi.

Selain itu, turut berlangsung SinarPlus Makan Fest, jualan rahmah FAMA, rumah hantu, uji bakat TV Pusat Sumber Sekolah (TV PSS), zoo mini dan kereta kuda.

Sementara itu, Meen turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak terutamanya Menteri Pendidikan kerana sudi merasmikan karnival berkenaan.

"Tidak ketinggalan kepada JPN Selangor khasnya untuk Sektor Sumber Teknologi Pendidikan dan Sektor Pembangunan Murid, Pejabat Pendidikan Daerah, sekolah, para pentadbir, guru-guru serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

"Sesungguhnya ilmu yang dicurahkan kepada anak-anak kita itu pastinya akan diingati sampai bila-bila,” jelasnya.