Apabila media sosial menjadi medan pertelingkahan

Iklan
Apabila reaksi mendahului pertimbangan, perbincangan yang sepatutnya membuka ruang pertukaran idea boleh berubah menjadi pertelingkahan yang semakin jauh daripada isu asal. Foto: Canva. Gambar kecil: Dr Syafila

Perbezaan pendapat bukan sesuatu yang baharu dalam masyarakat. Sejak dahulu, manusia berbeza pandangan tentang pelbagai perkara, daripada isu kehidupan seharian hinggalah kepada dasar dan kepentingan awam. Bezanya, perbezaan tersebut kini berlangsung dalam ruang digital yang terbuka, pantas dan boleh disaksikan oleh ribuan pengguna dalam masa yang singkat.

Di media sosial, sesuatu pandangan boleh menerima sokongan dan bantahan hampir serta-merta. Namun, kepantasan memberikan respons tidak semestinya disertai kesediaan untuk memahami. Apabila reaksi mendahului pertimbangan, perbincangan yang sepatutnya membuka ruang pertukaran idea boleh berubah menjadi pertelingkahan yang semakin jauh daripada isu asal.

Iklan
Iklan

Isu jerebu yang masih melanda beberapa kawasan di Malaysia ketika ini memberikan gambaran bagaimana sesuatu isu awam boleh mencetuskan pelbagai reaksi masyarakat. Keadaan kualiti udara yang membimbangkan, termasuk bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap sangat tidak sihat di lokasi tertentu, bukan sahaja menimbulkan kebimbangan terhadap kesihatan penduduk, malah turut menjadi perbincangan hangat di media sosial.

Perbincangan mengenai jerebu rentas sempadan turut mencetuskan pertikaian antara pengguna media sosial Malaysia dan Indonesia sehingga mendapat perhatian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). Isu yang sepatutnya membuka ruang perbincangan tentang punca pencemaran dan langkah penyelesaian akhirnya berisiko tenggelam apabila perhatian beralih kepada tuduhan dan sentimen terhadap masyarakat kedua-dua negara.

Iklan

Keadaan ini memperlihatkan satu persoalan yang lebih besar dalam budaya komunikasi masyarakat hari ini. Mengapa perbezaan pandangan tentang sesuatu isu begitu mudah berkembang menjadi pertelingkahan antara individu atau kelompok yang berbeza pendirian? 

Foto: Canva

Iklan

Apabila pandangan berbeza dianggap sebagai serangan

Daripada perspektif komunikasi, perbezaan pendapat merupakan sebahagian daripada proses membina kefahaman dalam masyarakat. Melalui pertukaran pandangan, sesuatu isu boleh dinilai daripada pelbagai sudut sebelum kesimpulan dibuat. Namun, keadaan menjadi rumit apabila ketidaksetujuan terhadap sesuatu hujah dianggap sebagai serangan terhadap individu yang mengemukakannya.

Dalam perbincangan di TikTok, Threads dan Facebook, pengguna mempunyai ruang untuk memberikan respons secara terbuka terhadap sesuatu kenyataan. Ada yang membalas menggunakan fakta dan hujah, tetapi tidak kurang juga yang memilih untuk menyindir, memperlekeh atau menyerang peribadi individu yang mempunyai pandangan berbeza.

Perkara ini turut dipengaruhi oleh cara maklumat disampaikan dan ditafsirkan dalam ruang digital. Sama ada melalui video pendek, tulisan atau ruangan komen, sesuatu kenyataan mudah disalahertikan apabila pengguna tidak memahami konteks sebenar atau hanya melihat sebahagian daripada kandungan yang dikongsikan. Apabila video dipetik, disunting atau dikongsi semula bersama ulasan tertentu, maksud asalnya juga boleh berubah dan mengundang reaksi yang tidak dijangka.

Selain itu, kecenderungan mempertahankan identiti dan pendirian kumpulan boleh menyebabkan seseorang lebih mudah menerima pandangan yang sehaluan, tetapi sukar mempertimbangkan hujah yang bertentangan dengan kepercayaannya.

Dalam isu jerebu rentas sempadan, misalnya, kritikan terhadap tindakan pihak tertentu tidak seharusnya ditafsirkan sebagai serangan terhadap keseluruhan rakyat sesebuah negara. Apabila perbezaan ini gagal difahami, isu alam sekitar yang memerlukan perhatian bersama boleh bertukar menjadi pertikaian yang menyentuh sentimen dan identiti kebangsaan. 

Foto: Canva

Algoritma dan budaya mencari perhatian

Budaya perbalahan di media sosial juga perlu dilihat dalam konteks bagaimana platform digital beroperasi. Kandungan yang menerima banyak komen, perkongsian dan reaksi berpotensi mendapat perhatian lebih luas, bergantung kepada sistem cadangan yang digunakan oleh sesuatu platform.

Kajian oleh Milli dan rakan-rakan (2025) menunjukkan bahawa algoritma yang mengutamakan reaksi pengguna di Twitter boleh meningkatkan pendedahan kepada kandungan yang mencetuskan emosi, khususnya kemarahan dan permusuhan antara kumpulan. Dapatan ini memberikan gambaran bagaimana cara kandungan disusun dan dipaparkan boleh mempengaruhi pengalaman pengguna di media sosial. Walaupun kajian tersebut tidak boleh dijadikan ukuran bagi semua platform, ia menunjukkan bahawa teknologi bukan sekadar menyediakan ruang komunikasi, tetapi turut berperanan menentukan kandungan yang lebih mudah mendapat perhatian.

Dalam keadaan tertentu, kenyataan yang provokatif mungkin menerima lebih banyak respons berbanding penjelasan yang sederhana dan berasaskan fakta. Namun, algoritma bukan satu-satunya faktor yang mempengaruhi budaya perbalahan. Pengguna sendiri turut menentukan bagaimana mereka memberikan respons terhadap kandungan yang dipaparkan.

Apabila sesuatu kenyataan dibalas dalam keadaan marah, kemudian dikongsi semula bersama sindiran atau tuduhan, pertikaian boleh berlanjutan tanpa menghasilkan kefahaman yang lebih baik tentang isu asal.

Literasi digital bukan sekadar kemahiran menggunakan teknologi

Dalam masyarakat yang semakin bergantung kepada teknologi komunikasi, literasi digital sering dikaitkan dengan kebolehan menggunakan aplikasi, menghasilkan kandungan dan mendapatkan maklumat. Namun, penguasaan teknologi tidak semestinya menggambarkan kematangan seseorang dalam berkomunikasi.

Seseorang mungkin mahir menggunakan pelbagai aplikasi digital, tetapi masih sukar menerima teguran, mempertimbangkan pandangan yang berbeza atau mengawal emosi ketika berinteraksi dengan pengguna lain.

Oleh itu, literasi digital perlu difahami dalam konteks yang lebih luas. Selain keupayaan mengenal pasti maklumat palsu dan menilai kesahihan sumber, masyarakat juga perlu mempunyai kemahiran memahami konteks, menilai hujah serta menyampaikan ketidaksetujuan tanpa menjatuhkan maruah orang lain.

Dalam isu jerebu, misalnya, media sosial sepatutnya membantu masyarakat mendapatkan maklumat tentang tahap pencemaran udara, risiko kesihatan dan langkah perlindungan yang perlu diambil. Sebaliknya, apabila perbincangan dipenuhi tuduhan dan serangan peribadi, maklumat yang penting kepada masyarakat mungkin tenggelam dalam pertikaian yang tidak membawa penyelesaian.

Usaha membentuk komunikasi digital yang lebih sihat memerlukan penglibatan pelbagai pihak, termasuk institusi pendidikan, keluarga, organisasi media, pencipta kandungan dan pengendali platform. Pendidikan literasi digital juga wajar memberikan penekanan kepada tanggungjawab sosial pengguna, bukan hanya kemahiran teknikal.

Pada masa yang sama, usaha memperbaiki budaya komunikasi tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menyekat pandangan yang berbeza atau kritikan yang berasas. Kritikan terhadap dasar, tindakan pihak berkuasa dan isu kepentingan awam tetap mempunyai tempat yang penting dalam masyarakat. Apa yang perlu dibezakan ialah kritikan yang membina dengan serangan yang bertujuan memperlekeh atau menjatuhkan pihak lain.

Foto: Canva

Menilai budaya komunikasi masyarakat

Tidak semua perbincangan di media sosial berakhir dengan pertelingkahan. Masih ramai pengguna yang memanfaatkan ruang digital untuk berkongsi pengetahuan, membantu orang lain dan membincangkan isu masyarakat secara matang. Namun, interaksi yang agresif boleh menjadi lebih menonjol sehingga menimbulkan tanggapan bahawa perbalahan merupakan sesuatu yang biasa dalam komunikasi harian.

Perkara ini perlu diberikan perhatian kerana budaya komunikasi tidak terbentuk melalui teknologi semata-mata, tetapi juga melalui tingkah laku yang diulang dan akhirnya diterima sebagai kebiasaan.

Apabila sindiran, penghinaan dan serangan peribadi semakin dianggap sebagai cara biasa untuk membalas pandangan orang lain, ruang perbincangan yang terbuka mungkin tidak lagi dirasakan selamat oleh semua pengguna. Ada yang akhirnya memilih untuk tidak menyuarakan pendapat kerana bimbang menjadi sasaran kecaman, walaupun pandangan mereka mungkin dapat menyumbang kepada perbincangan yang lebih bermakna.

Keadaan ini sewajarnya menjadi perhatian kerana nilai sebuah ruang komunikasi bukan hanya terletak pada kebebasan untuk bersuara, tetapi juga pada peluang untuk pelbagai pandangan didengar dan dipertimbangkan secara adil.

Kemajuan teknologi telah menyediakan ruang yang semakin luas untuk masyarakat berhubung, menyampaikan pendapat dan mengambil bahagian dalam perbincangan isu awam. Namun, keterbukaan ruang komunikasi ini tidak semestinya menjadikan masyarakat lebih terbuka untuk menerima perbezaan pandangan. Keadaan ini memperlihatkan bahawa perkembangan teknologi perlu seiring dengan kematangan masyarakat dalam berkomunikasi, khususnya apabila berhadapan dengan pandangan dan pendirian yang berbeza.

Maklumat penulis:

Ketua Laboratori Generasi Siber, Institut Pengajian Sains Sosial, Universiti Putra Malaysia, Dr Syafila Kamarudin

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my